Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    IBTE anjur majlis penghargaan

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah mengadakan majlis penghargaan untuk menghargai sumbangan berharga warga IBTE yang telah bersara dan yang masih bertugas serta rakan industri IBTE.

    Majlis berlangsung hari ini di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa dan disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Haji Azman bin Ahmad mewakili Menteri Pendidikan.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Pegawai Eksekutif IBTE, Dr Haji Mohd Zamri bin Haji Sabli selaku pengerusi majlis, berkongsi pencapaian dan cabaran yang dihadapi, terutamanya semasa pandemik COVID19.

    Majlis penghargaan itu bertujuan untuk mengiktiraf sumbangan yang tidak ternilai oleh rakan kongsi dan pihak berkepentingan, termasuk persatuan, perniagaan, dewan, NGO, tripartite partners, kakitangan, dan tenaga pengajar IBTE sendiri.

    Pihak IBTE dan rakan kongsi industri terlibat dalam pelbagai tugas, termasuk pembangunan kurikulum, latihan dan penilaian, pembangunan piawaian pekerjaan, dan perkongsian kepakaran dan kemudahan.

    Dr Haji Mohd Zamri turut berkongsi inisiatif yang telah dicapai melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI) IBTE dalam beberapa tahun yang lalu. Baginya, untuk mencapai kejayaan yang memberi manfaat kepada negara, IBTE tidak boleh beroperasi sendiri, tetapi memerlukan pengetahuan, kepakaran, dan sokongan daripada rakan kongsi industri.

    “Kerjasama yang dipertingkatkan dengan industri dapat membantu mengurangkan kemungkinan ketidakpadanan kelayakan dengan permintaan pasaran buruh,” jelasnya.

    Majlis tersebut bertujuan untuk menghargai sumbangan, sokongan, dan kerjasama yang diberikan oleh Lembaga Pengelola IBTE dan rakan industri IBTE.

    Selain meraikan warga IBTE yang bersara pada tahun 2022, turut diadakan Employee Recognition Award bagi menghargai kecemerlangan warga IBTE.

    Majlis turut dihadiri oleh setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pengarah-pengarah di Kementerian Pendidikan, ahli Lembaga Pengelola IBTE, rakan industri dari agensi kerajaan dan swasta, serta pegawai kanan dan tenaga pengajar IBTE.

    Majlis tersebut juga menjadi platform penting untuk memperluas rangkaian hubungan dan mempererat hubungan silaturrahim di antara warga IBTE dan rakan-rakan industri.

    Dr Haji Azman semasa menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima pada majlis tersebut.
    ATAS & BAWAH: Antara warga IBTE yang menghadiri majlis itu yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa.

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...