Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Ibu bapa contoh teladan anak-anak

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Ibu bapa hendaklah menunjukkan contoh yang terbaik di hadapan anak-anak sama ada dalam bentuk tingkah laku mahupun tutur kata.
    “Oleh yang demikian, ibu bapa harus mempersiapkan diri terlebih dahulu sebelum menjadi cermin kepada anak-anak.

    “Mereka hendaklah mempunyai sifat takwa, berbudi pekerti mulia, tawaduk, penyabar, penyantun dan rajin melaksanakan ibadah kerana semua sifat yang dapat dilihat secara lahiriah akan dapat mempengaruhi peribadi anak-anak,” tekan khatib semasa menggariskan salah satu daripada empat cara yang berkesan untuk mendidik anak pada khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Bersama Memeduli Keluarga’.

    Cara kedua, menurutnya, adalah pendidikan menerusi adat kebiasaan iaitu ibu bapa yang mengamalkan ajaran-ajaran Islam dengan baik dan hidup dengan adat resam Islam yang murni, maka sudah tentu anak-anak hidup di bawah jagaannya akan menjadi anak yang soleh kerana anak lahir dalam keadaan fitrah dan ibu bapalah yang mencorakkannya.

    Manakala cara ketiga adalah pendidikan melalui nasihat, salah satu cara yang berkesan mendidik anak-anak sama ada dari sudut keimanan, akhlak atau jiwa kemasyarakatan anak tersebut.

    Termasuk dalam kaedah nasihat ialah mengenalkan kepada anak-anak mengenai kekuasaan Allah, suruhanNya, laranganNya dan hukum-hukum dalam Islam, menceritakan mengenai para rasul, sahabat, ulama dan lain-lain.

    Ibu bapa hendaklah sentiasa memerhatikan anak-anak dan mengambil berat apa yang dilakukan di luar rumah iaitu menyelidiki dengan siapa kawannya, ke mana anak pergi, untuk apa dan seumpamanya.

    Cara keempat adalah pendidikan melalui pemerhatian dan pengawalan, tambah khatib, di mana tujuannya adalah untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan anak semasa berada di luar rumah, di samping kewajipan mengawasi mereka dalam semua aspek kehidupan dan pendidikan.

    Khatib dalam khutbahnya turut menekankan, tugas mendidik anak-anak bukan tugas yang mudah dan boleh dipandang ringan, ia perlu diberi perhatian yang teliti dan terancang.

    Ini kerana didikan ibu bapa di peringkat awal adalah penentu ke arah mana corak dan masa depan mereka lebih-lebih lagi di zaman moden yang penuh dengan pelbagai cabaran ini.

    Beliau seterusnya menambah, sifat kasih sayang itu amat penting dalam membina sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni.

    Keutuhan dan kekuatan hubungan sesebuah keluarga itu bergantung pada ikatan kasih sayang ibu bapa, anak-anak dan ahli keluarga yang lain dan terbinanya kasih sayang sesama keluarga, kebahagiaan keluarga itu akan terjamin sepanjang masa.

    Keluarga juga adalah tiang seri sesebuah masyarakat, kukuhnya keluarga bererti kukuhlah masyarakat, bangsa dan perpaduan negara.

    Katanya lagi, “Dalam sesebuah keluarga, suami atau ayah adalah orang yang berperanan penting dan bertanggungjawab dalam memberi bimbingan, pimpinan serta didikan pada isteri, anak-anak dan keluarganya agar mereka menjadi golongan orang yang beriman, bertakwa dan diredai Allah.”

    Semua ini tidak akan dapat dicapai melainkan suami atau ayah itu sendiri terlebih dahulu menghayati agama dan bersifat takwa kepada Allah dan seorang suami atau ayah juga harus menjadi contoh teladan kepada isi rumah sama ada dari segi pergaulan, percakapan dan perbuatannya.

    Keluarga adalah institusi terpenting dalam sesebuah masyarakat, kerana dari sini lahirlah individu yang bakal menjadi tulang belakang sesebuah negara dan bangsa.

    Selaras dengan pengiktirafan unit keluarga, sebagai institusi terpenting dalam masyarakat, Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan dalam menyambut Hari Keluarga melalui Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan yang disambut pada setiap hari Ahad dalam bulan Mei sejak tahun 2012 di peringkat negara.

    Tema sambutan Hari Keluarga Kebangsaan pada tahun ini, ‘Bersama Memeduli Keluarga’ yang mengetengahkan peranan keluarga dalam pembangunan masyarakat dan negara.
    Sifat kasih sayang amat penting membina sebuah keluarga bahagia dan penyayang, maka tanamkanlah semangat untuk menyayangi dan menghargai keluarga dengan mengeratkan hubungan kekeluargaan asalkan tidak bercanggah daripada ajaran Islam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...