Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Individu Sindrom Down kini hidup lebih lama

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Lyna Mohamad

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Kementerian Kesihatan memperingati Hari Sindrom Down Sedunia 2023 dengan majlis sambutan bertemakan ‘Bersama Kami, Bukan untuk Kami’, yang berlangsung di Pusat Perkembangan Kanak-kanak (CDC), Kiarong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat Khas, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Awang Abdol Hazis bin Haji Ahad.

    Hari Sindrom Down Sedunia disambut setiap 21 Mac bagi menandakan terdapatnya kelebihan pada pasangan kromosom ke-21 yang menyebabkan sindrom Down.

    Ketua CDC, Dr Hajah Mawarni binti Haji Abdul Hamid dalam ucapan alu-aluannya mengongsikan kemungkinan melahirkan kanak-kanak sindrom Down akan bertambah dengan meningkatnya usia ibu ketika mengandung.

    “Tetapi disebabkan kadar kesuburan lebih tinggi pada wanita yang lebih muda, 51 peratus kanak-kanak sindrom Down sebenarnya dilahirkan oleh wanita muda di bawah umur 35 tahun,” ujarnya.

    Menurut beliau lagi, individu sindrom Down mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami keadaan perubatan tertentu seperti kecacatan jantung kongenital, masalah pernafasan dan pendengaran, leukemia di zaman kanak-kanak, penyakit tiroid dan penyakit Alzheimer.

    “Alhamdulillah, kebanyakan penyakit ini sekarang boleh dirawat dengan baik. Oleh itu, kebanyakan individu sindrom Down sekarang boleh menikmati kehidupan yang sihat dan jangka hayat yang panjang.

    “Dengan adanya penjagaan kesihatan yang baik dan berkesan, berbanding dengan beberapa dekad yang lalu, seseorang individu sindrom Down sekarang Insya-Allah boleh hidup dengan sihat hingga 60 tahun,” tambahnya.

    Tahun ini, CDC, Kementerian Kesihatan meraikan kanak-kanak sindrom Down dengan aktiviti perbarisan lalu beramai-ramai sebagai tanda sokongan kepada kanak-kanak sindrom Down.

    Beberapa agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan yang turut serta dalam memeriahkan Majlis Sambutan Hari Sindrom Down Sedunia berkenaan antaranya Pancaragam Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

    Dr Hajah Mawarni semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...