Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    ISB BGIC 2022 labuh tirai

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Persidangan Isu-isu Global Borneo Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB BGIC) berakhir hari ini dengan perbahasan besar dalam dua forum mengenai resolusi kesihatan dan kesejahteraan yang telah diluluskan semasa peringkat jawatankuasa sejak dua hari lalu.

    Resolusi telah diluluskan dengan undi majoriti dalam perhimpunan agung mewakili suara hampir 300 belia Negara Brunei Darussalam dan akan dikongsi bersama masyarakat luas untuk perbincangan dan tindakan selanjutnya.

    Persidangan ditutup dengan majlis yang penuh meriah dikendalikan oleh pemimpin pelajar di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Pada majlis itu, 21 buah sekolah yang mengambil bahagian telah menerima sijil atas komitmen mereka terhadap ISB BGIC 2022.

    Beberapa orang peserta turut menerima anugerah khas seperti perwakilan paling efektif di samping pengiktirafan kepada pengerusi jawatankuasa dan ketua setiausaha yang menjadi milik sekolah tuan rumah, ISB.

    Pelajar bergambar bersama sijil masing-masing pada majlis penutup ISB BGIC di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

    Guru bertanggungjawab ISB BGIC, Merrill Grant berkata, “Tumpuan persidangan tahun ini adalah mengenai belas kasihan dan empati. Setiap perwakilan telah menunjukkan keupayaan bukan sahaja menunggu untuk bercakap, malah mendengar secara aktif wakil lain dari seluruh dunia, untuk benar-benar mendengar antara satu sama lain.

    “Sebagai persidangan yang diketuai oleh pelajar, mereka telah diberikan pelbagai peranan untuk memudahkan perbahasan dan kelancaran persidangan, seperti pembantu, pasukan
    akhbar dan ketua teknologi.

    “Peranan ini menyediakan peluang pembelajaran secara langsung untuk membangunkan kerja berpasukan, kerjasama dan kesedaran tentang tanggungjawab yang merupakan sebahagian daripada penganjuran persidangan,” tambahnya.

    Sementara itu, Pengetua Eksekutif ISB, Tony Macfadyen turut menzahirkan keterujaannya kerana dapat melihat pelajar yang menunjukkan kepimpinan, kerjasama, dan kelakuan cemerlang dalam peranan masing-masing.

    “Kami amat berbangga dengan semua peserta kerana mewakili sekolah mereka dengan sikap dan usaha yang positif. Kami juga berterima kasih kepada rakan persidangan kami, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), atas sokongan besar mereka yang membolehkan ISB BGIC memberi manfaat kepada belia Negara Brunei Darussalam dalam menyokong wawasan 2035,” ujar beliau.

    ISB BGIC 2022 ke-18 ditaja oleh Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Brunei LNG Sdn Bhd, Gleneagles JPMC Sdn Bhd, Dynamik Technologies Sdn Bhd, Bank Islam Brunei Darussalam dan Butra HeidelbergCement Sdn Bhd.

    Ia turut disokong oleh TLT Enterprise, Interhouse Company, Air Cat Logistics Sdn Bhd, D’Sunlit Sdn Bhd, Brunei Press Sdn Bhd dan Aewon Garment & Embroidery.

    Acara berkenaan juga diadakan semasa Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2022.

    ISB BGIC merupakan persidangan tahunan di mana peserta (delegasi) mewakili negara untuk menangani pelbagai isu semasa, dunia sebenar.

    BGIC dipimpin oleh para pelajar ISB bagi para pelajar di Negara Brunei Darussalam yang bertujuan meningkatkan pembangunan pemahaman pelajar tentang kewarganegaraan global dan kemahiran kritikal dalam penyelidikan, pengucapan awam dan rundingan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...