Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Jaga kehormatan sesama Muslim

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Persaudaraan merupakan sendi dan tunjang kekuatan perpaduan umat Islam dan sebagai orang Islam adalah bertanggungjawab untuk menyempurnakan hak persaudaraan iaitu saling menjaga kehormatan saudara seagama untuk kerukunan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara.

    Khatib menegaskan perkara itu semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini dan seterusnya menjelaskan, nilai persaudaraan dalam agama Islam itu besar sehingga dianjurkan untuk saling menjaga kehormatan dan menutup aib atau keburukan sesama kita.

    “Aib merupakan satu perkara yang tidak boleh sewenang-wenang dibuka atau disebarkan kepada orang lain di mana kita sering lalai dan lupa kepada peringatan itu,” ujar khatib.

    Bukan itu saja, tegas khatib lagi, kita juga kerap kali mendedahkan aib orang dan mencanangkan kepada khalayak ramai sehingga terlupa tentang amaran Rasulullah SAW kepada orang yang menyebarkan perkara aib.

    Setiap manusia itu dijadikan Allah dengan memiliki kelebihan dan kekurangan masing-masing dan jika terlihat perkara aib yang dilakukan oleh seseorang itu secara sembunyi-sembunyi, tidak boleh menyebarkan perkara aib itu kepada orang lain.

    Apa yang perlu dilakukan, jelas khatib, ialah dengan menutup aibnya dan sekali gus menasihatkan ketika ia sedang bersendirian atau ketika berada di tempat yang tertutup.

    Di zaman media baharu ini, terdapat segelintir dalam masyarakat yang sering menyalahgunakan laman-laman web sosial dan aplikasi telefon bimbit dengan menyebarkan perkara-perkara yang boleh mengaibkan diri sendiri dan orang lain seperti menyebarkan penulisan, imej, video dan seumpamanya.

    Sebagai orang yang beriman, jelasnya, kita hendaklah menjaga diri daripada menyakiti orang lain sama ada dari segi tingkah laku atau tutur kata.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...