Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Jangan ambil ringan ke atas janji

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Perkataan ‘Insya Allah’ (jika dikehendaki Allah) yang dilafazkan itu hendaklah disertakan dengan azam untuk menyempurnakan janji supaya tidak termasuk dalam golongan orang yang munafik.

    Agama Islam sangat mengambil berat perihal janji dan berhati-hatilah sebelum berjanji, jadikanlah diri sebagai orang yang bertakwa dan penuh amanah bukan orang mungkir janji yang tergolong dalam golongan orang munafik.

    Khatib menegaskannya semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Menepati Janji Akhlak Mulia’.

    Beliau seterusnya mengingatkan yang janji itu adalah wajib untuk ditunaikan, manakala ucapan ‘Insya Allah’ itu adalah suruhan Allah dan rasulNya ketika berjanji yang mana ini bererti ucapan ‘Insya Allah’ itu bukan sebagai satu alasan untuk tidak menyempurnakan janji yang telah dibuat.

    Apa yang berlaku sekarang, tekan khatib, segelintir orang apabila berjanji akan mengatakan ‘Insya Allah’ dengan tujuan tidak memberati apa yang dijanjikan atau dengan kata lain lafaz ‘Insya Allah’ itu diucapkan sebagai alasan untuk tidak memenuhi janji tersebut yang mana sifat seperti ini adalah bertentangan dengan kehendak sebenar hukum syarak.

    Menepati janji merupakan akhlak mulia yang dituntut oleh agama Islam dan hidup di dunia ini akan sentiasa terikat dengan janji, sama ada janji kepada Allah, janji kepada Rasulullah seterusnya janji kepada orang lain.

    “Adapun maksud janji kepada Allah itu adalah beribadah kepadaNya, manakala janji yang dimaksudkan kepada Rasulullah SAW adalah mengikuti segala perjalanan, sirah dan kehidupan Baginda,” tambahnya.

    Apabila seseorang itu berhasil menepati janji kepada Allah dan rasulNya, maka dia pula pasti akan berhasil menepati janji kepada yang lainnya.

    Khatib seterusnya berkata, “tapi apabila ia gagal memenuhi janji kepada Allah dan rasulNya, maka dia adalah orang yang tidak memegang amanah sedangkan menunaikan janji itu termasuk dalam golongan orang yang berakhlak mulia dan bertakwa”.

    Janji adalah satu amanah yang wajib ditunaikan dan tidak dapat diambil ringan dan diambil remeh kerana perbuatan meringan-ringankan janji apatah lagi tidak menepatinya adalah perbuatan yang dibenci dan murkai Allah.

    Orang-orang yang beriman tidak akan cuai dan tidak akan sekali-kali mengkhianati janjinya, jelasnya, sekalipun berbeza agama mahupun berbeza bangsa.

    Ini kerana orang yang mengkhianati janji itu bererti tidak amanah malah tergolong dalam golongan orang munafik.

    Janganlah mudah membuat janji, jelas khatib, lebih-lebih lagi sekiranya janji itu dijangka sukar untuk ditepati dan sukar untuk dipenuhi, ini kerana setiap perjanjian itu akan ditanya dan dipertanggungjawab pada hari kiamat kelak.

    Rasulullah SAW dalam hadis Baginda juga ada menjelaskan perihal amalan menepati janji yang sekiranya ditepati maka ia akan menjadi asbab masuk syurga dengan izin Allah.

    Memandangkan janji itu satu amanah dan manakala mungkir janji itu pula perbuatan orang munafik dan berdosa besar, tambah khatib lagi, agama Islam telah menentukan perkara yang perlu dilakukan apabila membuat janji ialah dengan mengucapkan ‘Insya Allah’ apabila berjanji yang mana suruhan ini telah dijelaskan oleh Allah dalam Al-Quran.

    Allah dengan jelas menurunkan ayat ini sebagai petunjuk kepada Rasulullah SAW dan umatnya supaya menyerahkan segala perkara itu kepada Allah terutama apabila hendak melakukan sesuatu pada masa yang akan datang dengan disertakan ‘Insya Allah’.

    “Kerana itu Allah jugalah yang mengetahui apa yang akan berlaku selepas itu dan Dialah yang berkuasa mengizinkan atau menghalangnya,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...