Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Jerman ingin kukuh hubungan ekonomi di Asia Pasifik

    SINGAPURA, 16 NOV – Jerman ingin mengukuhkan hubungan ekonomi dengan rantau Asia Pasifik, kata Canselor Jerman, Olaf Scholz dalam ucapannya semasa Persidangan Asia Pasifik mengenai Perniagaan Jerman (APK) ke-17, yang diadakan Isnin lalu.

    Scholz berkata peperangan di Ukraine telah mengakibatkan kesan buruk di seluruh dunia seperti kebuluran, kekurangan bekalan tenaga dan inflasi, meskipun konflik berlaku di benua lain.

    “Mengurangkan risiko dan kebergantungan terhadap bahan mentah tertentu atau teknologi penting lainnya akan memainkan peranan penting dalam Strategi Keselamatan Kebangsaan yang sedang kita usahakan ketika ini.

    “Pandangan kami terhadap perkara ini adalah jelas iaitu cara terbaik untuk mencapai rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan adalah dengan mempelbagaikan hubungan perniagaan kami,” kata beliau.

    Canselor Jerman itu ketika ini mengadakan lawatan di rantau Asia Pasifik. Selepas ke China 4 November lalu, Scholz turut singgah ke Vietnam dan Singapura, sebelum meneruskan kunjungan ke Indonesia bagi Sidang Kemuncak G20.

    APK dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Asia Pasifik mengenai Perniagaan Jerman, Kementerian Persekutuan Ekonomi dan Tindakan Iklim Jerman, dan Dewan Perniagaan Jerman Luar Negara di Asia Pasifik.

    “Rantau Asia Pasifik adalah lebih daripada China. Persidangan Asia Pasifik merangkumi seluruh rantau sejak 30 tahun lalu, dan sebab itu Jerman memutuskan untuk mengukuhkan sokongan terhadap persidangan ini,” jelas Scholz. – The Star/ANN

    Scholz bergambar sebelum mengadakan mesyuarat di Hanoi pada 13 November. Beliau berkata Jerman ingin untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dengan rantau Asia Pasifik. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...