Thursday, May 9, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    JIS sumbang alat bantuan belajar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Pelajar berkeperluan khas yang memerlukan alat bantuan dan sumber pembelajaran khas telah menerima bantuan dari Sekolah Rendah (SR) JIS, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), pada majlis yang berlangsung di Dewan Galaksi, Sekolah Rendah Keriam, Tutong.

    Seramai 13 pelajar berkeperluan khas daripada 10 buah sekolah telah menerima alat bantuan dan sumber belajar khusus termasuk kerusi roda, kerusi roda elektrik, komputer riba dan sumber-sumber belajar yang lain.

    Hadir menyaksikan penyampaian itu ialah Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Khas (JPKhas), Awang Eddy Fazlin bin Haji Amdan.

    Turut hadir ialah Ketua Sekolah Rendah JIS, Paul Bannister, para pemimpin sekolah, para pegawai Unit Pendidikan Khas, pelajar dan kakitangan sekolah rendah serta ibu bapa dan penjaga para pelajar.

    Seramai 13 penerima bantuan itu terdiri daripada pelajar dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Sekolah Menengah (SM) Menglait, SM Sayyidina Hasan, SM Sayyidina ‘Othman, SM Sultan Sharif Ali, SR Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien, SR Pengiran Setia Negara Pengiran Mohd Yusof, SR Pusar Ulak, SR Rataie dan Sekolah Seri Mulia Sarjana.

    Awang Eddy Fazlin (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Paul Bannister pada majlis berkenaan.
    Ahli Majlis Perwakilan Pelajar SR JIS (kiri) menyampaikan sumbangan pada majlis berkenaan.

    Sementara itu, lapan buah sekolah iaitu SM Menglait, SR Awang Haji Mohd Yusof Katimahar, SR Keriam, SR Muhammad Alam, SR Panglima Barudin Limau Manis, SR Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien, SR Penapar dan SR Pengkalan Batu turut menerima sumbangan yang sama.

    Pada majlis itu juga, para pelajar SR JIS telah memberikan pengenalan mengenai aktiviti-aktiviti amal yang dikendalikan di mana mereka telah berjaya mengumpul kira-kira sebanyak $10,000 bagi aktiviti amal tahunan mereka itu.

    Paul Bannister ketika mengulas mengenai aktiviti amal tahunan itu, menyatakan penghargaan kepada semua pihak terlibat terutama JPKhas yang telah memberikan peluang kepada para pelajar mereka bagi mengambil bahagian secara aktif untuk menyumbangkan bakti kembali kepada masyarakat Brunei.

    Dalam memberikan pendidikan yang menyeluruh kepada pelajar-pelajar mereka, jelas Paul lagi, pihaknya bukan sahaja menekankan pencapaian akademik tetapi memberikan penekanan kepada pelajar mereka untuk menggunakan ilmu pengetahuan yang diperoleh dalam membantu masyarakat atau memberikan sumbangan yang positif kepada komuniti mereka.

    Dalam hubungan itu, ulasnya, dengan belajar untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat Brunei, membantu golongan yang memerlukan, dapat membangunkan warga yang cemerlang daripada usia yang muda lagi.

    “Melihat perbezaan yang dapat mereka lakukan untuk membantu kanak-kanak lain mengatasi cabaran dalam pendidikan, amat membantu mereka untuk memahami manfaat memberi kepada orang lain,” tekannya.

    Terdahulu sebelum penyampaian sumbangan alat bantuan, Awang Eddy Fazlin dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada JIS atas sumbangan dan sokongan berterusan kepada kegiatan kebajikan tahunan itu, di mana sumbangan itu, setentunya akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pelajar khas dalam memastikan mereka dapat menimba ilmu pengetahuan dengan selesa dan berterusan.

    Sumbangan itu juga bermatlamat untuk membantu para pelajar berkenaan dalam pembelajaran dan mobiliti mereka.

    Majlis penyampaian sumbangan itu merupakan usaha kerjasama yang berterusan antara JPKhas dan SR JIS sejak 2002.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...