Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Xi gesa kawal kesan kenaikan kadar

    NUSA DUA, INDONESIA, 15 NOV – Presiden China Xi Jinping hari ini meminta pemimpin negara kaya G20 supaya mengawal kesan kenaikan kadar faedah, ketika Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) bertindak agresif untuk membendung inflasi.

    “Kami mesti mengawal inflasi global dan menyelesaikan risiko sistematik dalam ekonomi dan kewangan,” beritahu Xi pada sidang kemuncak G20 yang sedang berlangsung di Bali.

    “Negara maju harus mengurangkan kesan negatif daripada penyelesaian dasar monetari mereka dan menstabilkan hutang pada peringkat mampan,” kata beliau.

    Rizab Persekutuan telah menambah kadar faedah ke tahap tertinggi sejak krisis kewangan 2008 ketika ia berusaha memperketat rantaian wang dalam usaha untuk mengatasi inflasi.

    Dasar mata wang AS telah mendorong dolar naik ke tahap yang belum pernah dilihat dalam dua dekad, mencetuskan kebimbangan di negara membangun yang bergantung pada eksport atau yang berusaha untuk mengawal inflasi.

    Presiden Xi menggesa ekonomi global utama supaya menentang tindakan mempolitikkan dan menjadikan dagangan makanan dan tenaga sebagai senjata, selain menarik balik sekatan unilateral dalam kerjasama penyelidikan dan teknologi.

    Pemimpin China itu yakin isu itu boleh diselesaikan melalui kerjasama antarabangsa menerusi pemantauan ke atas pasaran serta mewujudkan pasaran komoditi yang terbuka dan mampan, menggunakan usaha bersama untuk menstabilkan harga dan rantaian bekalan.

    “Jaminan keselamatan makanan dan tenaga adalah cabaran paling relevan dalam pembangunan global. Krisis semasa bukanlah disebabkan isu pengeluaran dan permintaan tetapi masalah dalam rantaian bekalan dan gangguan dalam kerjasama antarabangsa,” kata Xi. – AFP/Bernama

    Presiden Xi Jinping tiba untuk sidang kemuncak pemimpin G20 di Nusa Dua, pulau peranginan Bali, Indonesia, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...