Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    JPES perjelas soalan lazim pindaan Akta Kawalan Harga

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Dengan hasrat untuk menjadi rujukan bagi memudahkan para peniaga, orang ramai dan pihak yang berkepentingan untuk memahami pindaan-pindaan yang terdapat dalam Perintah Akta Kawalan Harga (Pindaan), 2021 yang mula berkuat kuasa pada 23 November 2021, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, telah mengeluarkan soalan-soalan lazim mengenai perintah berkenaan.

    Soalan-soalan lazim berkenaan boleh didapatkan melalui aplikasi mudah alih, PenggunaBijak dan laman sesawang, bit.ly/PCAFAQ.

    Antara soalan lazim yang terdapat dalam dokumen berkenaan ialah mengenai objektif pindaan di mana Perintah Akta Kawalan Harga (Pindaan), 2021 adalah untuk mengemaskinikan peruntukan-peruntukan yang terdapat di dalam Akta Kawalan Harga Penggal 142 supaya sentiasa relevan dengan peredaran masa bagi memelihara kepentingan dan kesejahteraan orang ramai d samping bagi mencapai impak yang positif terhadap pasaran dan matlamat ekonomi negara.

    Di samping itu juga, ia membolehkan penguatkuasaan dan kerja pemantauan dapat dilaksanakan ke atas harga keperluan asasi terpilih dalam keadaan tertentu seperti musim perayaan atau semasa krisis bagi tempoh yang bersesuaian.

    Pindaan utama Perintah Akta Kawalan Harga (Pindaan), 2021 termasuk pengemaskinian di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 yang merangkumi barangan yang diberikan subsidi oleh kerajaan seperti beras, gula dan bahan tenaga.

    Terdapat 10 barangan yang ditetapkan harga maksimum iaitu beras dan gula yang diperoleh dan dibekalkan oleh Jabatan Perbendaharaan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, gasolin motor RON 97, RON 92 dan RON 88, minyak gas automotif, diesel, kerosin, gas petroleum cecair (LPG), susu tepung formula anak damit, minyak masak iaitu canola, jagung, palma, sayur, sunflower dan kacang soya serta kenderaan bermotor penumpang.

    Pindaan-pindaan lain ialah Pindaan Bab 38 di mana maklumat jenis barangan asasi yang dikawal harga oleh pihak kerajaan boleh diumumkan melalui atau mengikut kaedah yang difikirkan bersesuaian seperti laman sesawang rasmi jabatan sebagai tambahan melalui kaedah pewartaan.

    Bagi Pindaan Bab 7(1) menyatakan bahawa makluman mengenai larangan bagi amalan menimbun (hoarding) barangan terkawal dengan kuantiti yang lebih daripada yang diperlukan untuk penggunaan biasa dapat diumumkan melalui kaedah yang difikirkan bersesuaian bagi makluman orang ramai selain daripada melalui perintah yang diwartakan.

    Pindaan baharu Bab 10(1) pula, memberikan kuasa kepada pengawal harga untuk mendapatkan maklumat yang berkenaan harga daripada pihak peniaga di mana adalah menjadi satu kesalahan jika terdapat mana-mana peniaga yang enggan bekerjasama untuk mengongsikan maklumat atau memberikan sebarang rekod atau dokumen yang diperlukan atau menghasilkan maklumat, rekod dan dokumen palsu.

    Peruntukan baharu Bab 10BA pula, menyatakan bahawa menghalang pengawal harga atau seseorang yang diberi kuasa daripada menjalankan tugas penguatkuasaan termasuk menghalang daripada memasuki premis, memeriksa sebarang rekod perniagaan, gagal menyerahkan sampel mana-mana harga barangan yang terkawal yang diperlukan adalah menjadi satu kesalahan.

    Pindaan peruntukan Bab 11(1) menyatakan bahawa menteri boleh membuat sebarang peraturan-peraturan dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menjalankan peruntukkan-peruntukan yang terdapat di dalam Akta Kawalan Harga, Penggal 142.
    Peniaga yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga, Penggal 142 boleh dikenakan denda sebanyak $5,000 dan penjara dua tahun. Bagi kesalahan kedua atau berulang akan dikenakan denda $20,000 dan penjara selama lima tahun.

    Barangan keperluan asasi merupakan makanan asas dan barangan pengguna yang dianggap memadai untuk kesihatan yang baik dan keperluan hidup.

    Soalan lazim berkenaan juga menerangkan bahawa sebelum penetapan harga maksimum ke atas barangan keperluan asasi dilaksanakan, penganalisisan maklumat dan konsultasi akan dibuat dengan pelbagai agensi penga-wal selia sektor barangan berkenaan dan termasuk pihak berkepentingan bagi menilai impak, kos dan pasaran secara holistik ke atas penetapan harga barangan tersebut.

    Para peniaga yang menjual dan membekalkan barangan asasi dikawal atau dipantau harga disarankan untuk mengikut arahan harga yang telah ditetapkan mengikut tempoh yang diumumkan.

    Pihak peniaga juga disarankan untuk menyimpan dengan teratur dan bersedia dengan dokumen-dokumen yang diperlukan oleh pengawal harga s bagi memudahkan pegawai-pegawai pemeriksa menjalankan tugas-tugas pemeriksaan dan pemantauan sepertimana yang terkandung di dalam Perintah Akta Kawalan Harga (Pindaan), 2021.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...