Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Kasuka Ar-Rawda berpesta gol

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Pasukan Kasuka Ar-Rawda tidak menghadapi masalah menentang pasukan Qahar FT selepas berpesta jaringan 14-0 pada kejohanan Liga Futsal Brunei (BFL) 2023 di Dewan Serba guna Bolkiah Garison, Kementerian Pertahanan, kelmarin.

    Kejayaan terbesar itu sekali gus membolehkan pasukan Kasuka Ar-Rawda merampas kedudukan teratas carta BFL 2023 dengan mengutip 24 mata.

    Sekalipun berkongsi mata dengan MS ABDB, perbezaan jaringan telah memberi kelebihan kepada pasukan Kasuka Ar-Rawda untuk mencantas kedudukan mereka.

    Sentuhan kedua-dua pemain import dan kombinasi pemain muda pasukan Kasuka Ar-Rawda berjaya menghidupkan rentak permainan skuad didikan Ketua Jurulatih Kasuka Ar-Rawda, Wahya Triyanto yang menayangkan disiplin permainan menarik untuk mengasak kubu pasukan Qahar FT.

    Pemain import dari Iran, Mohd Reza Rahmannia menyumbangkan jaringan hatrik yang dicetak pada minit ke-4, 18 dan 24 sementara rakan senegaranya, Abol Fazl Minouei pula mempamerkan keberkesanan serangan dengan menjaringkan empat gol masing-masing pada minit ke 9, 25, 38 dan ke-39.

    Pasukan Qahar FT perlu mendapat pujian apabila berjaya memberi saingan yang mantap sehingga ke akhir perlawanan namun serangan mereka tidak begitu berbisa untuk menewaskan penjaga gol Kasuka Ar-Rawda.

    Kegembiraan pastinya dirasai oleh Adee Ismawi, Awangku Mohd Naqib bin Pengiran Timbang, Awangku Mohd Nazirul Mubin, Awangku Muhd Arshrul Irfan, Nur, Mohd Norazizam dan Mohd Ulfi Aminuddin yang masing-masing membantu menyumbang jaringan untuk kemenangan bermakna pasukan Kasuka Ar-Rawda.

    “Pemain-pemain sudah mampu menunjukkan penampilan yang lebih baik dari perlawanan sebelum ini. Dispilin corak serangan juga nampak berkesan sehingga membuka banyak peluang untuk membolosi gawang pasukan lawan”, jelas Wahyu Triyanto.

    Aksi pemain Kasuka Ar-Rawda dan Qahar FT semasa pertandingan berkenaan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...