Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Kecederaan paksa Cheng Wen tinggalkan skuad kebangsaan

    KUALA LUMPUR, 3 JAN – Kecederaan di bahu kiri yang dialami pemain badminton beregu campuran Malaysia, Yap Cheng Wen, memaksanya untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan kariernya sebagai atlet kebangsaan.

    Atlet berusia 27 tahun itu memaklumkan, keputusan itu diambil selepas mendapat nasihat pakar perubatan dengan mengambil kira faktor kecederaan yang dialaminya.

    Tanpa mendedahkan butiran lanjut hala tuju kerjayanya selepas ini, atlet kelahiran Melaka itu tidak menolak kemungkinan untuk meneruskan minatnya dalam sukan tersebut sebagai jurulatih.

    “Tetapi saya juga ada perancangan lain yang saya mahu buat untuk karier saya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Dua hari lepas, Cheng Wen mengesahkan telah meninggalkan BAM menerusi akaun Instagramnya, selepas 15 tahun berada dalam pasukan kebangsaan.

    Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara di sini, berkata Cheng Wen telah menyuarakan kehendaknya sejak awal tahun lepas lagi.

    “Dia (Cheng Wen) memang sudah merancang sejak awal tahun 2022, dia kata dia akan cuba bertahan sepanjang 2022, tetapi ternyata pemeriksaan terakhir imbasan pengimejan resonan magnetik (MRI), doktor kata memang koyak di bahu kirinya.

    “Semasa di Kejohanan Cabaran Antarabangsa Malaysia lagi dia sudah tidak selesa bermain dia tiada masalah lain di BAM, jadi dia memang dah melepaskan badminton,” katanya.

    Selain Cheng Wen, jurulatih beregu campuran Teo Kok Siang, turut memaklumkan akan meninggalkan BAM menerusi akaun Instagramnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...