PHNOM PENH, 21 SEPT – Kemboja akan menetapkan gaji minimum bulanan baharu untuk pekerja dalam sektor pakaian, kasut dan barangan pelancongan sebanyak AS$200 mulai 2023, meningkat 3.09 peratus berbanding paras semasa sebanyak AS$194, menurut Menteri Buruh, Ith Samheng.
Pengumuman itu dibuat selepas Majlis Kebangsaan bagi Gaji Minimum mengundi untuk menetapkan gaji minimum sebanyak kira-kira AS$198 sebulan mulai tahun depan, dan kerajaan kemudiannya menambah AS$2, lapor Xinhua.
Majlis 51 ahli itu terdiri daripada wakil kerajaan, kumpulan perkilang serta kesatuan sekerja. “Gaji minimum baharu ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2023,” katanya.
Selain gaji, pekerja dalam sektor pakaian, kasut dan barangan pelancongan, akan memperoleh manfaat lain, AS$21-AS$32 sebulan untuk kehadiran tetap, pengangkutan, sewa dan bonus bagi pekerja lama, kata menteri berkenaan.
“Ini baik untuk pekerja, dan saya yakin kenaikan gaji ini akan menyumbang kepada kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Sektor pakaian, kasut dan barangan pelancongan merupakan penyumbang terbesar tukaran asing Kemboja. Terdapat kira-kira 1,100 buah kilang dan cawangan dengan 750,000 pekerja, sebahagian besarnya wanita.
Nang Sothy, pengerusi bersama Kumpulan Kerja Kerajaan-Swasta bagi Perhubungan Industri berkata majikan gembira menaikkan gaji pekerja walaupun berhadapan kesukaran ekoran krisis Ukraine.
“Peningkatan AS$6 tidak banyak mengubah kehidupan pekerja kami ekoran kenaikan inflasi, namun kami berharap ia dapat membantu mengurangkan kesusahan mereka,” katanya.
Sementara itu, Sorthy menggesa pekerja supaya bekerja lebih kuat untuk meningkatkan produktiviti bagi meningkatkan daya saing dalam sektor berkenaan.
Pav Sina, presiden bagi gerakan kesatuan pekerja yang mewakili lebih daripada 50,000 orang pekerja, berkata walaupun kenaikan itu tidak memenuhi permintaan kesatuan sebanyak AS$215, ia merupakan langkah positif dalam meningkatkan kebajikan pekerja.
“Gaji minimum baharu ini boleh diterima,” katanya kepada pemberita. – Bernama