Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Kementerian Kesihatan giat pantau jangkitan cacar monyet

    Oleh Nurdiyanah R. & Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Dalam usaha menjaga kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini daripada sebarang jangkitan berhubung kes cacar monyet atau monkeypox, Kementerian Kesihatan terus memainkan peranan dengan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.

    “Sehubungan itu, setakat ini, tidak ada sebarang jangkitan yang terjadi berkaitan dengan kes cacar monyet di negara ini,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Bagaimanapun, katanya, sebagai langkah pengawalan, pemantauan terus dilakukan bagi mana-mana orang ramai yang hadir di klinik-klinik mahu pun hospital di negara ini.

    “Langkah komunikasi dilakukan lebih awal sebelumnya bersama pusat-pusat perubatan di negara ini untuk sentiasa bersiap sedia dan mengenal pasti simptom-simptom atau tanda-tanda cacar monyet ini,” ujarnya.

    Yang Berhormat Dato menambah bahawa cacar ini berbeza dengan COVID, di mana COVID boleh merebak melalui kontak terdekat atau berhadapan dengan seseorang yang mempunyai jangkitan.

    “Ia menjangkiti menerusi sentuhan terhadap cecair atau hubungan intim yang boleh mengakibatkan seseorang itu dijangkiti,” katanya sambil memetik kenyataan yang disampaikan oleh Konsultan (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan, Dr Justin Wong dan Konsultan (Penyakit Berjangkit), Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Riamiza Natalie binti Haji Momin.

    Beliau seterusnya mengongsikan langkah pengawasan lain termasuk doktor-doktor barisan hadapan terutama family practitioners turut dimaklumkan mengenai hal tersebut, kerana ia akan menjadi perhubungan pertama antara pesakit dan doktor.

    Katanya lagi, arahan sudah pun diberikan kepada semua doktor dan mereka akan melakukan pengawasan dan jika ada kekhuatiran atau kemungkinan seseorang itu dijangkiti cacar monyet, aturan prosesnya sudah pun disediakan dan pihak jabatan kawalan penyakit (DCD) akan dihubungi seterusnya melakukan beberapa pemeriksaan dan rawatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...