Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Kerajaan Malaysia disyor buka sempadan seawal 1 Mac

    PUTRAJAYA, 8 FEB – Majlis Pemulihan Negara (MPN) hari ini mengesyorkan kerajaan membuka sepenuhnya sempadan negara seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib, kata Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Beliau berkata syor itu antara yang dikemukakan dalam mesyuarat MPN di sini hari ini adalah langkah penting bagi menyokong pemulihan negara khususnya dalam sektor ekonomi dan pelancongan, serta mampu menarik pelabur asing ke negara ini.

    “Namun pembukaan sempadan negara  perlu dilaksanakan secara terancang berdasarkan penilaian risiko semasa penularan COVID-19 dalam negara,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MPN hari ini. 

    Muhyiddin berkata ujian saringan COVID-19 perlu dilakukan sebelum berlepas dan sejurus tiba di pintu sempadan berpandukan syor daripada Kementerian Kesihatan (KKM), dan KKM akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

    Muhyiddin berkata cadangan pembukaan semula sempadan negara itu sepatutnya tidak terhad kepada negara tertentu sahaja sebaliknya dibuka kepada semua negara.

    “Dalam taklimat tadi, Menteri Kesihatan (Khairy Jamaluddin) memaklumkan varian Omicron sudah berada di seluruh dunia, jadi kita tidak boleh pilih-pilih negara,” katanya.

    Beliau berkata syor berkenaan juga boleh dilaksanakan memandangkan sistem pengurusan kesihatan awam negara mampu mengawal penularan varian Omicron berdasarkan pengalaman lepas selain mempunyai fasiliti kesihatan yang mencukupi.

    Muhyiddin berkata MPN mengesyorkan kerajaan melaksanakan pelarasan bagi semua jenis bantuan kewangan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang disediakan agensi pembiaya kerajaan dan sistem perbankan negara, supaya lebih sistematik.

    “Ia bagi meningkatkan penggunaan sumber lebih optimum, bersasar dan berlandaskan keperluan supaya tidak berlaku pertindihan, malah lebih ramai pengusaha yang terjejas dapat menerima bantuan,” katanya. – Bernama

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kanan) mempengerusikan Mesyuarat MPN Bil.2/2022 di Kementerian Kewangan semalam. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...