Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Kerjasama komuniti perkapalan diperkukuh

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Komuniti perkapalan mencatatkan mercu tanda yang amat penting dalam memperkukuhkan kerjasama untuk meningkatkan perkhidmatan serta operasi dalam perkhidmatan marin menerusi perjanjian antara Pihak Berkuasa Maritim dengan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) dan Amarco Services Sdn Bhd.

    Menerusi perjanjian tersebut, PBMP dan Amarco Services akan bekerjasama rapat bagi pengurusan dan operasi Pelabuhan Selatan Teluk Brunei yang akan bermula pada Jun 2023.

    Majlis penandatanganan perjanjian tersebut, yang diselajurkan dengan Sambutan Hari Maritim Sedunia, telah diadakan di The Empire Brunei, hari ini.

    Hadir selaku tetamu khas pada majlis berkenaan dan menyaksikan penandatanganan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku Pengerusi PBMP.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani selaku Timbalan Pengerusi PBMP, setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, ahli-ahli Lembaga Pengarah PBMP, pegawai-pegawai kanan serta warga kerja PBMP.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menyaksikan majlis penandata-nganan tersebut di The Empire Brunei, kelmarin.
    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyaksikan dengan lebih dekat pameran Sambutan Hari Maritim Sedunia.
    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi bergambar ramai selepas majlis penandatanganan tersebut.

    Pemangku Ketua Eksekutif PBMP, Kapten Abdul Mateen Abdurrahman Liew @ Martin menyatakan bahawa kerjasama itu akan menjadikan sebahagian kecil perairan wilayah Brunei sebagai kawasan labuh bagi kapal persisiran pantai yang membolehkan pemilik kapal untuk berlabuh bagi tempoh yang lebih lama.

    Beliau menjelaskan bahawa dengan kombinasi ciri-ciri iklim dan geografinya, Teluk Brunei dianggap sebagai salah satu tapak pelabuhan yang terbaik dengan reputasi serta rekod sekuritinya yang cemerlang.

    Beliau menambah dengan promosi mantap, kemudahan berlabuh berkenaan akan menjadi dikenali ramai di rantau ini dan percaya ia bukan sahaja akan menangkap minat pemain serantau tetapi ia juga akan menjana peluang-peluang perniagaan pelengkap.

    Sementara itu, mengulas mengenai Sambutan Hari Maritim Sedunia, Kapten Abdul Mateen berkata, Negara Brunei Darussalam sebagai negara ahli Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) akan memperingati hari berkenaan dengan menyalakan bangunan-bangunannya dalam warna biru dan hijau di mana ia melambangkan perpaduan komuniti marin dan meningkatkan kesedaran sumbangan mustahak perkapalan kepada dunia.

    Beliau turut menambah bahawa tema sambutan iaitu ‘Teknologi Baharu bagi Perkapalan Lebih Hijau’, mengetengahkan peranan teknologi baharu dalam menyokong peralihan hijau sektor maritim bagi masa hadapan mampan.

    Pada majlis berkenaan, menandatangani bagi pihak PBMP ialah Kapten Abdul Mateen manakala Amarco Services diwakili oleh Pengarah, Awang Ariffin bin Haji Masrah dengan disaksikan oleh Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary.

    Yang Berhormat Pengiran turut diberikan penerangan dan menyaksikan dengan lebih dekat pameran Sambutan Hari Maritim Sedunia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...