Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Kesiapsiagaan tangani krisis kesihatan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MAC – Pengalaman semasa menangani pandemik COVID-19 telah meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan awam dan pentingnya keselamatan diri dan orang-orang sekeliling telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapan penangguhan Musim Permesyuaratan ke-19, Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bangunan Dewan Majlis hari ini.

    Menurut Yang Berhormat Dato, kesan krisis ini tidak hanya terhad kepada kesihatan sahaja, tetapi juga dari segi ekonomi dan melihat krisis ini telah menzahirkan beberapa ruang untuk pembaikan.

    Ia bukan sahaja dalam sistem kesihatan negara, malahan dari segi kemampuan dan kesiapsiagaan mengatur respons terhadap ancaman-ancaman yang boleh membahayakan dan menjejaskan keselamatan negara dan penduduk.

    Dengan sumber-sumber yang dimiliki, jelasnya, kita perlu berfikiran lebih jauh dan terbuka dalam memanfaatkan inovasi pada masa menangani krisis.

    Selain itu, adalah perlu untuk memastikan kelangsungan pengoperasian perkhidmatan yang semakin mencabar untuk menjaga kesejahteraan rakyat.

    Yang Berhormat Dato menjelaskan, “Kita tidak boleh lagi meneruskan business as usual tanpa membuat beberapa anjakan paradigma dalam corak pemikiran dan cara bekerja yang mana ini sudah setentunya akan memerlukan pelaburan yang lebih strategik, berdaya tahan dan kos-efektif.”

    Yang Berhormat Dato seterusnya berharap, pendekatan dalam pembangunan negara bukan saja diberi tumpuan kepada kemajuan ekonomi dan kekayaan material sahaja tetapi ia perlu disukat atau mengambil kira nilai yang tidak ketara iaitu intangible values.

    Ini seperti pembangunan moral, sosial, kerohanian masyarakat, dan kejayaan yang hanya akan dapat disaksikan dalam jangka masa panjang, terutama pencapaian matlamat strategik Wawasan Brunei 2035.

    “Kesihatan fizikal dan mental yang baik bagi segenap lapisan masyarakat perlu menjadi salah satu agenda berpanjangan dalam strategi pembangunan negara,” tegasnya.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyampaikan ucapan penangguhan semasa MMN. – Gambar oleh Infofoto
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...