Kisona kejutkan bekas pemain nombor satu dunia

KUALA LUMPUR, 25 MAC – Pemain perseorangan wanita negara S. Kisona mencipta kejutan apabila menewaskan bekas pemain nombor satu dunia Saina Nehwal dari India pada pusingan kedua Kejohanan Terbuka Switzerland 2022 di Basel. 

Pada perlawanan yang berlangsung di St Jakobshalle awal pagi tadi, Kisona mencatat kemenangan 17-21, 21-13, 21-13 sekali gus menempah slot ke suku akhir.

Di set pertama, Kisona bermula dengan baik setelah mendahului 15-12, namun Saina tidak menunggu lama untuk bangkit menyamai kedudukan 15-15 sebelum berjaya mengatasi pemain negara 21-17. 

Pada set kedua, kedua-dua pemain saling mengejar mata sehingga terikat 8-8 sebelum Kisona beraksi dengan lebih agresif sekali gus berjaya membawa permainan ke set penentuan apabila mencatat kemenangan 21-13. 

Di set penentuan, Kisona yang berada di ranking ke-64 dunia diikat pemain ranking 23 dunia itu dengan kedudukan 6-6 sebelum Kisona mendominasi permainan sehingga menoktahkan kejayaan 21-13.

Di suku akhir, Kisona akan membuat perhitungan dengan lawan dari Thailand Supanida Katethong yang dijadual berlangsung pada 9 malam waktu tempatan, hari ini. – Bernama