Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Edisi Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 kali ini dijadualkan berlangsung di sekitar Lembah Klang dan Langkawi pada 16 hingga 24 September 2022.
Kontinjen Negara Brunei Darussalam yang bertolak ke Kuala Lumpur, Malaysia hari ini dianggotai seramai 20 orang terdiri daripada 13 orang atlet dan tujuh orang pegawai termasuk chef de mission, pegawai urus setia, pegawai perubatan dan jurulatih.
Turut hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat jalan dan seterusnya memberikan kata-kata nasihat kepada kontinjen negara ialah Setiausaha Tetap (Kesukanan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah, serta pegawai-pegawai Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Kontinjen Negara diketuai oleh Chef de Mission ke SUKMA XX MSN 2022, Malaysia Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim.
Edisi kali ini, atlet dan pasukan negara akan menyertai lima acara sukan iaitu akuatik (renang), karate, petanque, pencak silat dan wusyu.
Pertama kali Negara Brunei Darussalam mula mengikuti SUKMA ialah pada tahun 1996, manakala kali terakhir Negara Brunei Darussalam menyertai SUKMA ialah pada tahun 2018 di Negeri Perak. Rombongan seterusnya akan bertolak ke Kuala Lumpur, Malaysia pada 14 September 2022 ini.
