Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    KSSUP adakan sambutan Israk Mikraj 1443H

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) serta jabatan-jabatan di bawahnya hari ini mengadakan Majlis Sambutan Israk Mikraj bagi Tahun 1443 Hijrah bersamaan 2022 Masihi secara maya.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong. 

    Turut menyertai majlis berkenaan ialah setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan KSSUP serta jabatan-jabatan di bawahnya.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti dengan ceramah khas bertajuk ‘Sembahyang Ku Kerana Allah’ yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Isham bin Ismail. 

    Antara lain kandungan ceramah yang disampaikan adalah mengenai pentingnya bagi setiap umat Islam mengerjakan sembahyang lima waktu semata-mata kerana mentaati suruhan Allah SWT dan sebagai tanda mensyukuri nikmat yang diberikan oleh-Nya. 

    Selain itu, sembahyang hendaklah dilakukan secara ikhlas, dengan penuh adab, khusyuk dan istiqamah agar mendapat rahmat, keselamatan di dunia dan di akhirat. Majlis kemudiannya diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

    Majlis sambutan Israk Mikraj KSSUP tersebut dikelolakan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan yang mana ia merupakan kegiatan tahunan bagi memperingati peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW sebagai salah satu hari kebesaran Islam. 

    Ia juga adalah sebagai ingatan bersama bagi meningkatkan ketakwaan umat Islam kepada Allah SWT terutama dengan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

    Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan bersama warga KSSUP hadir semasa majlis tersebut yang diadakan secara maya. – Gambar serahan KSSUP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...