Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Laos buka semula sempadan

    BANGKOK, 9 MEI – Negara Asia Tenggara yang dikelilingi daratan, Laos telah membuka pintunya kepada pelancong dan pengunjung lain hari ini, lebih dua tahun selepas negara itu melaksanakan sekatan-sekatan ketat untuk membendung koronavirus.

    Thipphakone Chanthavongsa, ketua agensi kerajaan bagi mengawal COVID-19, telah mengumumkan pada Sabtu lalu mengenai tarikh pembukaan semula, yang terakhir dalam pelan tiga fasa, agensi berita kerajaan KPL melaporkan.

    Beliau berkata bahawa sijil-sijil vaksinasi atau ujian virus akan masih diperlukan bagi rakyat Laos dan warga asing yang memasuki negara itu.

    Pengembara berusia 12 tahun ke atas tanpa sijil vaksinasi mesti menunjukkan ujian ATK negatif yang diambil dalam tempoh 48 jam pelepasan ke Laos.

    Sebagai sebahagian daripada pelonggaran sekatan, tempat-tempat hiburan termasuk premis-premis karaoke akan dapat dibuka semula, namun mesti mematuhi peraturan pengawalan COVID. Semua perjalanan merentas sempadan dibuka semula.

    Negara itu menerima sejumlah 4.79 juta pelawat asing pada 2019 sebelum pandemik bermula. Jumlah itu jatuh kepada 886,400 pada 2020, tahun terkini statistik berkenaan tersedia.

    Laman sesawang akhbar Vientiane Times yang dikawal kerajaan memetik Timbalan Menteri Kesihatan, Snong Thongsna sebagai berkata, keputusan untuk membuka semula negara itu adalah berdasarkan penurunan jumlah kes COVID di Laos dan seluruh dunia.

    Kadar jumlah jangkitan baharu yang dilaporkan setiap hari menurun daripada hampir 2,000 pada Februari dan Mac kepada kurang daripada 200 kini. – AP

    Pekerja menyapu laluan di sepanjang Sungai Mekong pada 12 Disember 2013, di Vientiane, Laos. Laos kembali membuka semula sempadannya kepada pelancong setelah lebih dua tahun.- AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...