Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Lebih 2,000 karton rokok dirampas

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar serahan PPDB

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Sejumlah 2,150 karton rokok pelbagai jenama berjaya dirampas semasa Operasi Sepadu Task Force COVID-19 yang telah dijalankan di kawasan tapak perindustrian, Kampung Lumapas, Daerah Brunei dan Muara, semalam.

    Operasi tersebut melibatkan gabungan keanggotaan daripada Pasukan Simpanan Polis C Kompeni, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

    Menurut kenyataan PPDB, penemuan itu dibuat ketika pasukan peronda mengesan tiga buah kenderaan yang mencurigakan diletakkan di kawasan tapak perindustrian berkenaan.

    Semasa pasukan peronda mendekati kenderaan berkenaan, kelihatan kelibat beberapa orang suspek yang melarikan diri menuju ke kawasan sempadan.

    Pemeriksaan segera dijalankan ke atas tiga buah kenderaan tersebut dan telah menemukan beberapa bungkusan kotak mencurigakan dan dipercayai mengandungi barang-barang tegahan.

    Pemeriksaan lanjut kemudian dijalankan di kawasan persekitaran lokasi lalu menemukan lagi sejumlah bungkusan kotak mencurigakan diletakkan di permukaan tanah berdekatan anak sungai dipercayai cuba untuk diseludup masuk ke negara ini.

    Balai Polis Kampong Ayer, PPDB dan pihak penguatkuasaan dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) segera dihubungi bagi menjalankan tindakan dan siasatan mengenainya.

    Kesemua barang rampasan termasuk penemuan kenderaan-kenderaan suspek diserahkan ke JKED bagi siasatan lanjut.

    Beberapa bungkusan kotak mencurigakan dipercayai mengandungi barangan tegahan yang berjaya dirampas oleh pihak penguat kuasa semasa operasi yang dijalankan baru-baru ini.
    Beberapa bungkusan kotak mencurigakan yang ditemui dalam salah sebuah kenderaan.

     

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...