Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Malaysia kehilangan negarawan Tun Samy Vellu

    KUALA LUMPUR, 15 SEPT – Malaysia kehilangan seorang negarawan dan tokoh politik berpengalaman yang menyumbang kepada pembangunan infrastruktur negara dan kemajuan masyarakat India berikutan pemergian Tun S. Samy Vellu, 86, yang menghembuskan nafas terakhir pagi tadi.

    Sepanjang hayatnya, mendiang merupakan antara menteri kabinet paling lama berkhidmat, kira-kira 30 tahun bermula sebagai Menteri Kerja Raya pada 1979. Semasa menjadi Menteri Kerja Raya, Samy Vellu banyak memainkan peranan dalam membangunkan rangkaian jalan raya serta pengangkutan dalam negara dan atas daya usahanya itu pada 1987, beliau dianugerah ‘International Man of the Year Award’ oleh The International Road Federation (IPF).

    Sebelum itu, mendiang pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 1978.

    Samy Vellu pernah menerajui Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Pos dari 1989 hingga 1995, yang menyaksikan kejayaan beliau mengendalikan projek penswastaan Jabatan Telekom, Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Pos, sebelum kembali ke Kementerian Kerja Raya pada 1995 hingga 2008. Mendiang juga merupakan antara nama penting yang menyumbang kepada idea mengenai pentingnya Malaysia memiliki satelit komunikasi sendiri, MEASAT-1 yang dilancarkan pada Januari 1996.

    Mendiang berkahwin dengan Toh Puan R. Indrani dan mempunyai dua anak, S. Mangayarkarasi dan Datuk Seri S. Vell Paari.

    Samy Vellu meninggal dunia di kediamannya di sini, kira-kira 7 pagi tadi dan perkara itu disahkan bekas Presiden MIC Tan Sri Dr S. Subramaniam ketika dihubungi Bernama. – Bernama

    Orang ramai hadir memberi penghormatan terakhir terhadap mendiang bekas Presiden MIC Tun Dr S Samy Vellu, 86, di kediaman beliau di Lengkongan Vethavanam off Jalan Ipoh kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...