Saturday, April 27, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Manfaatkan peluang timba ilmu di AS

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Pengalaman menyertai pelbagai aktiviti kesukarelawanan mengenai pemuliharaan alam sekitar dan isu-isu kemapanan mendorong penerima biasiswa FullBright, David Liew Teck Voon untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang pengurusan kemapanan di Amerika Syarikat (AS).

    David yang merupakan penerima biasiswa Fullbright Foreign Student akan melanjutkan pengajian Sarjana Sains dalam Pengurusan Kemapanan di American University dan berharap pengalaman serta ilmu pengetahuan yang diperoleh semasa pengajian selama setahun di AS dapat dimanfaatkan untuk mengetengahkan isu pengurusan kemapanan di Brunei nanti.

    Setelah berkhidmat selama tujuh tahun dalam industri minyak dan gas, jelas David, sudah tiba masa baginya untuk menceburi bidang kerjaya yang diminati serta dekat di hatinya iaitu pemuliharaan alam sekitar dan kemapanan.

    Oleh itu, biasiswa Fulbright memberikannya peluang untuk mendalami serta menimba ilmu pengetahuan mengenai bidang yang semakin mendapat tempat dalam dunia yang memberikan penekanan kepada pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan, kata David lagi dalam temu bual bersama Media Permata semasa sesi orientasi pra-pelepasan pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke AS yang berlangsung di Hotel Mulia, hari ini.

    “Harapan saya menerusi biasiswa ini, adalah untuk menimba ilmu mengenai industri berkenaan daripada pakar bidang industri itu, membawa pulang kemahiran itu serta menyumbang kepada pembangunan industri berkenaan di sini,” ujarnya.

    David Liew berharap dapat meneroka kerjaya baharu dalam bidang pengurusan kemapanan apabila kembali ke Brunei setelah menamatkan pengajian di AS.
    Dayang Norhayatunajibah akan melanjutkan pengajian dalam bidang penyelidikan Big Data di Hawaii Pacific Univesity.
    Dayang Aida amat teruja diberikan peluang untuk mendalami pengajian Kesusasteraan Bahasa Inggeris dan memperkenalkan budaya serta Brunei kepada rakan-rakan sebaya di AS dan serata dunia.

    AS, tambahnya, merupakan salah sebuah negara yang berada di barisan hadapan dalam bidang pengurusan kemapanan dan apabila kembali ke Brunei setelah menamatkan pengajian nanti, berharap untuk menggunakan ilmu pengetahuan itu untuk memajukan industri pengurusan kemapanan di negara ini baik dalam sektor swasta mahupun sektor awam.

    “Perkara yang paling penting untuk diingati ialah untuk tahu apa yang ingin awda lakukan apabila kembali ke Brunei. Bagaimanakah awda akan memanfaatkan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh dari AS,” jelas beliau.

    Perkara yang serupa turut ditekankan oleh penerima biasiswa Fulbright, US-ASEAN Visiting Scholar, Dayang Norhayatunajibah binti Haji Kifli yang merupakan pensyarah di Politeknik Brunei dan akan melanjutkan pengajian dalam Research on Big Data and Learning Analystics in Improving Student Retention and Success Rates: An ASEAN Perspective di Hawaii Pacific Univesity.

    Beliau berharap untuk melanjutkan dan memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan bagi mendalami bidang penyelidikan Big Data khususnya dalam bidang pendidikan yang telah dikendalikan di AS.

    Oleh itu, tambahnya, biasiswa Fulbright memberikan peluang kepadanya untuk meneroka penyelidikan dalam bidang berkenaan untuk dimanfaatkan bagi industri pendidikan di Negara Brunei Darussalam khusus di Kementerian Pendidikan.

    “Saya merasakan bahawa penyelidikan Big Data adalah amat signifikan dari segi bagaimana untuk memperbaiki pengekalan pelajar (student retention) di Brunei. Ia merupakan salah satu cara untuk memperbaikinya,” jelasnya.

    Sementara itu, pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dayang Aida binti Murad akan belajar di University of Missouri, St Louis di bawah Kohort Kedua Brunei bagi Global UGRAD di mana beliau akan menyelami bidang pengajian Kesusasteraan Bahasa Inggeris selama satu semester.

    Beliau menyatakan pera-saan teruja kerana bukan sahaja beliau diberikan peluang untuk mendalami pengajian dalam bidang berkenaan tetapi ia merupakan peluang yang amat baik untuk mengenali AS dengan lebih dekat lagi.

    Dayang Aida berharap bukan sahaja untuk mempelajari mengenai Kesusasteraan Inggeris tetapi juga untuk mengadakan pertukaran budaya dengan pelajar-pelajar lain di AS.

    “Saya cukup berminat dalam pertukaran budaya dan akan memperkenalkan Brunei kepada rakan-rakan sebaya serta juga belajar mengenai negara-negara mereka,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...