Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Masjid RPN Kg Meragang dijangka siap Januari 2023

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Penduduk Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Meragang dan sekitarnya akan mempunyai sebuah bangunan masjid baharu yang pembinaannya dijangka siap pada Januari 2023.

    Bangunan masjid baharu berkenaan dibina atas sebidang tanah berkeluasan 8.159 ekar dan menggunakan anggaran peruntukan di bawah Rancangan Kemajuan Negara berjumlah $4.3 juta.

    Keseluruhan kapasiti masjid baharu berkenaan boleh menampung seramai lebih kurang 2,200 orang jemaah.

    Sehubungan itu, majlis mendirikan tiang masjid baharu berkenaan telah diadakan hari ini di mana hadir selaku tetamu kehormat bersama ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir Haji Suhaimi bin Haji Ghafar.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan laungan azan, bacaan Ayat Kursi, selawat dan zikir mendirikan tiang masjid baharu secara beramai-ramai yang dipimpin oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat.

    Majlis diteruskan dengan acara menuang simen yang didahului oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan serta diikuti oleh para jemputan khas yang hadir. Kemudian Doa Selamat dibacakan oleh Awang Zulkifli.

    Di penghujung majlis, tetamu-tetamu kehormat bersama para jemputan yang hadir melihat dengan lebih dekat ciri-ciri bangunan masjid baharu tersebut yang dipamerkan.
    Antara kemudahan yang disediakan adalah tandas untuk orang berkeperluan khas, bilik kuliah, bilik perpustakaan, bilik pengurusan jenazah serta tempat letak kereta untuk orang berkeperluan khas.

    Majlis turut dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Ugama Islam Brunei, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat / Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar; Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin; Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin; dan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Pembangunan semasa acara menuang simen pada majlis berkenaan. – Gambar oleh Muiz Matdani

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...