Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Mickelson bakal kembali beraksi

    LOS ANGELES, 26 APRIL – Phil Mickelson memberikan bayangan mengenai kemungkinan dia kembali ber-aksi dalam sukan golf kelmarin selepas memohon pelepasan untuk bermain dalam acara pertama jelajah golf yang disokong Arab Saudi pada Jun nanti.

    Syarikat pengurusan Mickelson mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa pemenang utama enam kali berusia 51 tahun tersebut sedang mendapatkan kelulusan untuk bermain dalam Jemputan Golf LIV pada 9 hingga 11 Jun nanti di luar London tetapi menegaskan dia masih belum mengesahkan penyertaannya.

    Bekas pemain nombor satu dunia itu tidak bermain sejak mencetuskan kekecohan pada Februari berikutan penerbitan kenyataannya yang dibuat pada tahun lalu kepada pengarang, Alan Shipnuck mengenai usaha baharu yang dibiayai oleh Saudi tersebut.

    Mickelson menyifatkan sokongan kewangan Arab Saudi bagi liga yang dicadangkan tersebut sebagai ‘menakutkan’ dengan rekod hak asasi manusia yang teruk tetapi berkata dia bersedia untuk berurusan dengan mereka bagi mendapatkan pinjaman untuk membentuk semula Jelajah PGA AS.

    Mickelson, penyandang juara PGA itu kemudiannya memohon maaf atas komen berkenaan dan mengumumkan bahawa dia akan mengambil sedikit masa untuk kembali beraksi dalam golf.

    Bagaimanapun, kemunculan semulanya dijangka akan menampilkan penyertaan pada acara LIV Golf di Kelab Golf Centurion di luar London.

    Presiden bersama pengurusan Sportfive, Steve Loy berkata dalam satu kenyataan bahawa Mickelson telah didaftarkan untuk bermain dalam kedua-dua Kejohanan PGA pada bulan hadapan, di mana dia akan mempertahankan gelarannya, serta di Terbuka AS pada 16 hingga 19 Jun nanti, yang berlangsung seminggu selepas acara LIV London.

    Kemungkinan penyertaan semula Mickelson bakal diadakan di tengah-tengah spekulasi sengit tentang pemain lain yang mungkin memilih untuk mengambil bahagian dalam usaha yang disokong Arab Saudi. – AFP

    Gambar fail menunjukkan reaksi Phil Mickelson selepas melakukan pukulan tee dalam perlawanan Terbuka Farmers Insurance di San Diego, 26 Januari 2022. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...