Tuesday, May 7, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Misi tamatkan kemarau Piala Thomas di Chengdu diteruskan

    CHENGDU, 26 APRIL – Menang besar atau balik, itu situasi menanti pasukan badminton lelaki Malaysia yang berhasrat untuk mengukir nama mereka dalam sejarah dengan mengakhiri kemarau 32 tahun negara bergelar juara Piala Thomas 2024 di Chengdu, China, bermula esok.

    Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sendiri telah mencabar pemainnya bahawa tidak mustahil untuk membawa pulang Piala Thomas dengan syarat mereka perlu mempamerkan semangat patriotik dan juang yang tidak berbelah bahagi sepanjang kejohanan yang diadakan di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone.

    Bagaimanapun, persiapan pasukan negara telah dibelenggu beberapa isu luar gelanggang melibatkan kem perseorangan lelaki termasuk kontroversi pemain perseorangan profesional Malaysia, Lee Zii Jia dan ketiadaan Ng Tze Yong selepas belum pulih daripada kecederaan belakang.

    Zii Jia sekali lagi mencuri tumpuan menjelang kejohanan apabila beliau sebelum ini menuntut bayaran ‘hak imej’ dan menarik diri daripada menyertai kem latihan pasukan Malaysia selama seminggu di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

    Kini setelah pemain nombor 10 dunia itu sebahagian daripada pasukan negara, Piala Thomas menjadi peluang terbaik untuk beliau menutup mulut pengkritiknya dengan memberikan segala yang beliau mampu bagi menyumbang mata berharga kepada Malaysia di Chengdu nanti.

    Ini kerana berdasarkan fakta juara Seluruh England 2021 itu mampu menjadi taruhan paling selamat bagi negara ekoran kerapuhan kem perseorangan lelaki ketika ini.

    Jika dilihat pada rekod Zii Jia dalam acara berpasukan sejak musim 2022, pemain berusia 26 tahun itu tidak mengecewakan apabila hanya kalah sekali sepanjang 18 perlawanan termasuk tiga kemenangan pada Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand, sebelum Malaysia dinafikan kemaraannya oleh India, 3-2 dalam saingan suku akhir. – Bernama

    Aksi Lee Zii Jia ketika sesi latihan sempena Kejohanan Piala Thomas 2024 di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone pada 26 April. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    India mengundi dalam fasa ketiga pilihan raya negara

    NEW DELHI, 7 MEI - Berjuta-juta pengundi India di 93 kawasan mengundi pada hari ini ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi telah melancarkan kempen...