Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    M’sia dipuji sebagai fasilitator rundingan damai di Thai

    PHUKET, 16 JAN – Malaysia telah melaksanakan peranan sebagai fasilitator dengan baik dalam rundingan damai bagi menamatkan konflik bersenjata di selatan Thailand, kata ketua perunding bagi rundingan damai selatan Thailand Jeneral Wanlop Rugsanaoh.

    “Sejak dua tahun lalu, saya berperanan sebagai ketua Panel Dialog Ke-amanan, saya lihat Malaysia telah melaksanakan tugas sebagai fasilitator dengan sangat baik… tanpa berpihak kepada sesiapa,” kata beliau dalam satu sesi temubual eksklusif dengan Bernama pada Sabtu.

    Ketika ditanya mengenai cadangan kumpulan dari selatan Thailand, Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) supaya Panel Dialog Keamanan menaik taraf peranan Malaysia daripada fasilitator kepada pengantara, Wanlop berkata ia terpulang kepada anggota panel dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) untuk membuat keputusan.

    Sesi temu bual dengan Bernama diadakan selepas Wanlop mengadakan sidang media sempena rundingan damai secara bersemuka yang berlangsung selama dua hari bermula 11 Jan di Kuala Lumpur, Malaysia selepas ditangguhkan selama hampir dua tahun akibat pandemik COVID-19.

    Pertemuan itu memberi sinar harapan bagi menamatkan pertumpahan darah di Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla, di mana majoriti penduduk-nya beragama Islam. Lebih 7,000 orang terbunuh dalam konflik bersenjata di selatan Thailand sejak 2004.

    Sementara itu, Wanlop turut melahirkan harapan agar bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor yang mewakili kerajaan Malaysia terus berperanan sebagai fasilitator.

    Beliau berkata Abdul Rahim mempunyai pengetahuan yang baik mengenai kerumitan isu di wilayah berkenaan dan berazam untuk melihat konflik di selatan Thailand selesai dalam masa terdekat. – Bernama

    Ketua Perunding Jeneral Wanlop Rugsanaoh (tengah) menghadiri sidang media di sebuah hotel di Phuket. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...