HOUSTON, 16 MAC – NASA dan syarikat aeroangkasa swasta, Axiom Space semalam melancarkan prototaip pakaian angkasa lepas generasi akan datang yang akan dipakai oleh angkasawan untuk misi seterusnya ke bulan.
Suit yang didedahkan pada acara di Pusat Angkasa Johnson di Houston menampilkan perlindungan terma dan kefleksibelan yang lebih berbanding sut yang dipakai oleh angkasawan Apollo yang pertama berjalan di permukaan bulan lebih 50 tahun lalu.
Pakaian itu mempunyai pelbagai lapisan pelindung, beg galas dengan sistem sokongan hayat, lampu dan kamera video definisi tinggi yang dipasang di atas topi keselamatan berbentuk gelembung.
Program Artemis agensi angkasa AS itu bertujuan mengembalikan manusia ke bulan pada akhir 2025 buat pertama kali sejak misi Apollo berakhir pada 1972, langkah awal ke arah pengembaraan ke planet Marikh.
Axion Space dianugerahi kontrak AS$228.5 juta untuk mereka sut itu – Axiom Extravehicular Mobility Unit dalam jargon angkasa lepas – untuk misi yang dikenali sebagai Artemis III.
Ketua jurutera Axiom Space, Jim Stein hadir di pentas di fasiliti NASA dengan memakai sut angkasa itu, sambil melambai tangannya dan melakukan senaman cangkung dan membengkokkan lutut untuk menunjukkan pelbagai pergerakan yang boleh dilakukan dalam sut itu.
Versi terakhir adalah sut warna putih yang digunakan untuk memantulkan cahaya dan melindungi angkasawan daripada suhu persekitaran teruk di bulan. Ia bertujuan dipakai sehingga lapan jam pada satu masa. – AFP
