Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Norway tumpaskan Ireland Utara

    SOUTHAMPTON, UNITED KINGDOM, 8 JULAI – Norway mencatatkan kemenangan 4-1 ke atas Ireland Utara dalam perlawanan pembukaan Euro 2022 Wanita kelmarin.

    Julie Blakstad dan Frida Maanum memberikan Norway permulaan yang selesa dengan jaringan dua gol dalam 13 minit pertama di Southampton.

    Sepakan penalti yang kemudiannya disempurnakan oleh Caroline Graham Hansen pada minit ke-31 sekali gus menghampakan juara Eropah dua kali itu dan menjejaskan penampilan sulung kejohanan wanita utama Ireland Utara.

    Pemain wanita Ireland Utara yang paling banyak membuat penampilan, Julie Nelson, memberi sekilas harapan kepada negara yang menduduki ranking terendah pertandingan itu selepas menjaringkan gol tunggal Ireland Utara di minit ke-49. Walau bagaimanapun, usaha mereka untuk menghasilkan kebangkitan semula gagal sehingga akhir perlawanan.

    Sepakan percuma menerusi Guro Reiten berjaya melakar kejayaan meyakinkan bagi pasukan Martin Sjogren, yang menyamakan kedudukan dengan tiga mata dengan tuan rumah England di puncak Kumpulan A.

    Berikutan kehadiran seramai 68,871 orang penonton di Old Trafford pada Rabu lalu bagi menyaksikan kemenangan England ke atas Austria, hanya seramai 9,146 orang penonton yang hadir di St Mary’s.

    Norway, pemenang kejohanan tersebut pada 1987 dan 1993, dua kali membelasah lawan mereka 6-0 dalam peringkat kelayakan dan kini mereka dalam rentak yang sama bagi mengekalkan momentum tersebut.

    Ireland Utara akan berusaha untuk bangkit pada Isnin nanti apabila Austria akan berkunjung ke St Mary’s, manakala Norway mengembara di sepanjang pantai selatan untuk berdepan dengan England di Brighton. – AFP

    Demi Vance (kanan) membuat percubaan ke gawang gol Norway semasa perlawanan bola sepak Kumpulan A Euro 2022 Wanita UEFA di Stadium St Mary di Southampton kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...