Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Omicron lonjakkan kes

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Sejak pengesanan varian Omicron dalam komuniti, Negara Brunei Darussalam menyaksikan peningkatan jumlah kes, dengan sebanyak 133 kes baharu jangkitan COVID-19 dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 16,691 orang.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengongsikan, daripada jumlah tersebut sebanyak 129 adalah kes tempatan manakala empat lagi adalah kes import.

    Pada sidang media Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini, beliau turut menyatakan, meskipun begitu, tiada kes dikategorikan dalam kategori 5 dan kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan mesin bantuan pernafasan di Unit Rawatan Intensif.

    “Sebanyak 29 kes disahkan sembuh, membawa jumlah keseluruhan sembuh kepada 15,993 manakala kes aktif pula sebanyak 596,” tambahnya.

    Beliau turut mengongsikan kadar penggunaan katil di seluruh negara atau bed occupancy rate pula sebanyak 11.4 peratus.

    Bagi pencapaian program vaksinasi pula, setakat 1 Februari, sekurang-kurangnya 94.8 peratus menerima satu dos vaksin, 94 peratus menerima dua dos dan dos penggalak pula 40.5 peratus. Bagi sekatan pergerakan, tiada pelanggaran arahan dikeluarkan kompaun di seluruh negara dari jam 12 malam sehingga 4 pagi tadi.

    Yang Berhormat Dato di hujung kenyataannya turut menyeru orang ramai terus berwaspada dan mengamalkan langkah-langkah pengawalan serta mengikuti nasihat-nasihat disarankan dalam segala garis panduan diberikan oleh pihak kerajaan demi menangani wabak COVID-19.

    “Semoga Allah SWT sentiasa melindungi Negara Brunei Darussalam daripada segala musibah dan bencana khususnya wabak COVID-19,” tambahnya.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin semasa sidang media COVID-19 di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...