Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Pandemik masih belum berakhir – WHO

    GENEVA, 19 JAN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran bahawa pandemik COVID-19 masih belum selesai kerana Perancis, Jerman dan Brazil mencatatkan rekod baharu jangkitan dalam tempoh 24 jam yang lalu.

    Varian Omicron yang sangat mudah berjangkit telah merebak tanpa henti ke seluruh dunia, mendorong beberapa kerajaan untuk mengenakan langkah baharu sambil mempercepatkan pelancaran suntikan dos penggalak vaksin.

    “Pandemik ini masih belum berakhir,” kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada wartawan kelmarin dari ibu pejabat agensi tersebut di Geneva.

    Eropah berada di pusat wabak baharu yang membimbangkan, dengan kes di Jerman melonjak melepasi 100,000 dan Perancis melaporkan hampir setengah juta kes kelmarin.

    Ketua kesihatan PBB memberi amaran supaya tidak menganggap Omicron sebagai ringan, kerana virus COVID-19 yang dominan terus mencetuskan wabak baharu dari Amerika Latin ke Asia Timur selepas ia mula dikesan di selatan Afrika pada November lalu.

    “Omicron mungkin mempunyai gejala yang ringan, secara purata, tetapi naratif bahawa ia adalah penyakit ringan mengelirukan,” katanya.

    Lima juta kes dilaporkan di Eropah minggu lalu dan WHO meramalkan Omicron boleh menjangkiti separuh daripada semua orang Eropah menjelang Mac, memenuhkan hospital di seluruh benua.

    Jerman kelmarin merekodkan 112,323 kes COVID-19 dan 239 kematian, kata pegawai, dengan varian Omicron ditemui dalam lebih daripada 70 peratus jangkitan. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...