Monday, May 6, 2024
30.5 C
Brunei

    -

    Pelosi sah lawat Asia Pasifik

    WASHINGTON, 31 JULAI – Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi akan mengetuai delegasi kongres ke rantau Asia-Pasifik, dengan singgah di Singapura, Malaysia, Korea Selatan dan Jepun.

    Perkara itu disahkan pejabat Pelosi hari ini, namun tidak menyatakan sama ada enam anggota delegasi itu akan melawat Taiwan, yang menjadi titik ketegangan dalam perbualan antara China dan Amerika Syarikat (AS) menjelang lawatan itu.

    “Lawatan itu akan memberi tumpuan kepada keselamatan bersama, perkongsian ekonomi dan tadbir urus demokratik di rantau Indo-Pasifik,” kata kenyataan itu.

    Delegasi berkenaan semuanya terdiri daripada ahli Demokrat termasuk Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan, Gregory Meeks dan ahli Jawatankuasa Pilihan Tetap mengenai Perisikan serta Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata.

    “Delegasi kami akan mengadakan mesyuarat peringkat tinggi bagi membincangkan bagaimana kami boleh memajukan lagi kepentingan dan nilai bersama, termasuk keamanan dan keselamatan, pertumbuhan ekonomi dan perdagangan, pandemik COVID-19, krisis iklim, hak asasi manusia serta tadbir urus demokrasi,” kata Pelosi dalam kenyataan itu.

    Kementerian Luar Singapura mengesahkan delegasi Pelosi akan melawat negara itu pada 1 hingga 2 Ogos, dengan pertemuan dijadualkan bersama Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong. – AFP

    Gambar fail menunjukkan Speaker AS Nancy Pelosi semasa mengadakan sidang media di Capitol Hill, Washington. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pemberontak Kashmir disyaki bunuh koperal tentera udara India

    SRINAGAR, 5 MEI - Seorang anggota tentera udara India terbunuh dan empat lagi cedera apabila pemberontak disyaki menyerang hendap konvoi tentera di Kashmir yang...