Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Peluang kenali ASEAN

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Dengan hasrat untuk memberikan pendedahan meluas mengenai maklumat asas berkaitan ASEAN kepada penuntut sekolah, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan Jerayawara Kenali ASEAN di Sekolah Arab Temburong, hari ini.

    Jerayawara yang dikendalikan oleh Unit Hal Ehwal Antarabangsa selaku Sekretariat bagi Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) ASEAN-COCI itu dihadiri oleh seramai 59 orang penuntut sekolah berkenaan.

    Taklimat Kenali ASEAN disampaikan oleh Penolong Pegawai Penerangan, Jabatan Penerangan, Pengiran Haji Ahmad Fadillah Akhbar bin Pengiran Haji Sellahuddin yang antara lain menanamkan kesedaran dalam kalangan para penuntut sekolah sebagai sebahagian daripada masyarakat ASEAN selaras dengan moto ASEAN iaitu satu visi, satu identiti, satu komuniti.

    Kuiz ASEAN juga diadakan bagi meningkatkan kesedaran para penuntut mengenai ASEAN selain untuk mengenal pasti sejauh mana mereka mengetahui mengenai ASEAN dan peranan pertubuhan dalam membangun negara-negara anggotanya. Semasa taklimat itu, turut dipromosikan ialah aplikasi mudah alih ‘We ASEAN’ yang mengandungi maklumat mengenai ASEAN dan negara-negara anggota, kalendar ASEAN, kuiz, galeri gambar dan video.

    Aplikasi itu merupakan salah satu projek di bawah SCI ASEAN-COCI dan ia boleh dimuat turun melalui Google Play bagi pengguna Android and App Store bagi pengguna iOS.

    Jerayawara itu merupakan salah satu usaha berterusan Jabatan Penerangan dalam menyuntik semangat patriotisme dan sifat perpaduan dalam kalangan penuntut-penuntut dalam sama-sama menghayati fungsi dan tujuan ASEAN ditubuhkan.

    Pada masa yang sama, ia juga bermatlamat untuk mengukuhkan hubungan antara Jabatan Penerangan dengan masyarakat khususnya penuntut-penuntut yang merupakan bakal mewarisi kesinambungan bangsa dan seterusnya memainkan peranan penting dalam memangkin hala tuju negara satu masa nanti.

    Pengiran Haji Ahmad Fadillah menyampaikan taklimat semasa Jerayawara Kenali ASEAN di Sekolah Arab Temburong, kelmarin. – Gambar serahan Jabatan Penerangan
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...