Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Pembukaan sempadan terima respons optimistik

    Oleh Azlan Othman

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Orang ramai bersikap optimistik berikutan pembukaan semula sempadan untuk perjalanan udara kepada 11 Senarai Hijau Perjalanan negara yang berkuat kuasa pada 1 April, sementara menjangka peningkatan dalam perniagaan.

    Bagaimanapun, orang awam juga sedang bersedia untuk tempoh peralihan sebelum penyambungan sepenuhnya aktiviti memandangkan orang ramai akan bersikap hati-hati pada awalnya.

    Dalam temu bual bersama media, ahli perniagaan Jeffrey Wong, pelancong kerap di antara Brunei dan Sarawak sebelum pandemik, berkata selepas penutupan sempadan lebih daripada dua tahun lamanya, pekerja asing kini boleh menziarahi keluarga mereka dan menyelesaikan segala urusan rasmi mereka.

    “Bagi penduduk Sarawak yang ingin pulang ke Miri dengan menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur terlebih dahulu, ia merupakan perjalanan yang mahal. Saya lebih suka menunggu sebulan atau dua lagi untuk sempadan darat dibuka semula,” katanya.

    “Pihak berkuasa boleh menggunakan sistem bas ulang-alik (sama seperti Singapura dan Johor) untuk perjalanan ke Miri, Limbang dan Lawas untuk sekurang-kurangnya dua hingga tiga kunjungan sehari. Menerusi sistem ini, lebih mudah untuk menguruskan perjalanan orang ramai,” kata Jeffrey.

    “Selain itu, ia juga akan menyumbang kepada ekonomi. Perkhidmatan bas yang telah terjejas teruk oleh penutupan sempadan boleh pulih sekarang.”

    Sementara itu, Penolong Ketua Setiausaha Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Brunei Darussalam (NCCIBD) Haji Halim bin Saim mengingatkan pengembara supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) diberikan.

    “Sesetengah mungkin memilih untuk menyeberangi sempadan untuk mengambil kesempatan ke atas kadar tukaran bagi membeli barangan yang semakin mahal di negara Brunei.

    “Seorang penjual sate memberitahu saya harga daging naik daripada $12 hingga $18 sekilo sementara harga kuah kacang juga telah naik.

    “Kos untuk mengambil pekerja asing telah meningkat walaupun sesetengah kedai memilih untuk menutup perniagaan untuk sementara waktu disebabkan kekurangan pekerja,” kata Haji Halim.

    Penasihat Kehormat Demensia Brunei, Datin Jacqueline Wong berkata, “Sebelum COVID, saya sering mengadakan perjalanan untuk kerja, projek khas dan persidangan. Dengan sekatan perjalanan semasa pandemik, ia merupakan masa untuk merenung kembali.

    Sementara ia merupakan masa yang mencabar, terdapat juga aspek yang positif. Bersama, kami berhubung menerusi pelbagai kaedah menggunakan teknologi digital dan telah menjadi lebih efektif.

    “Pembukaan sempadan dan perjalanan antarabangsa sememangnya merupakan berita yang dialu-alukan. Bagaimanapun, perjalanan dalam norma baharu, kami mesti bersikap bijak dan hati-hati mengenai kesihatan dan keselamatan semua,” tambahnya.

    Datin Wong juga menggesa orang ramai supaya menjadi pengembara bertanggungjawab dan mengelak mengunjungi kawasan yang teruk terjejas.

    “Bagi sesetengah pengembara, terutamanya warga emas dan mereka berpenyakit kronik atau masalah kesihatan, patut menangguh rancangan perjalanan.

    Sementara itu, K Goh daripada SONAX Brunei berkata sementara pembukaan semula sempadan merupakan berita gembira, beliau berharap negara dan Kementerian Kesihatan tetap mengambil langkah berjaga-jaga melindungi negara.

    “COVID nampaknya sentiasa berubah. Kita perlu menerima kehadirannya tetapi pada masa sama tetap bersikap hati-hati untuk mengelak gelombang baharu,” katanya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...