Thursday, May 9, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    Pengurniaan bintang kebesaran jadi pembakar semangat

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Perasaan gembira dan teruja jelas terlihat di wajah penerima bintang-bintang kebesaran Negara Brunei Darussalam pada Majlis Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-76 tahun di Balai Singgahsana Indera Kencana, Istana Nurul Iman, hari ini.

    Dalam kegembiraan itu, beberapa penerima yang dihubungi melalui telefon rata-ratanya menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan bintang-bintang kebesaran itu.

    Salah seorang penerima pada majlis itu ialah Pengiran Datin Hajah Norliha binti Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail yang menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (SMB) dan sebelum ini telah bertugas di Kementerian Pembangunan sebagai pegawai perhubungan awam kanan sebelum bersara.

    Beliau melahirkan perasaan teruja dan bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan pengurniaan berkenaan dan dalam masa yang sama, beliau juga tidak menyangka untuk menerimanya setelah menerima beberapa penganugerahan lain sebelum ini.

    “Sebagai seorang yang pernah berkhidmat sebagai penjawat awam, ia sudah tentu akan menjadi satu pendorong untuk terus bekerja keras dan dengan pengurniaan hari ini dan sebelumnya, ia akan tetap menjadi satu lambang dan bukti pencapaian dan kejayaan saya sebagai penjawat awam selama lebih 37 tahun.

    Pengiran Datin Hajah Norliha yang menerima Bintang Kebesaran SMB.
    Hajah Rosnah yang menerima Bintang Kebesaran PSB.
    Hajah Lilawati menerima Bintang Kebesaran PSB.

    “Dalam tempoh lebih 37 tahun dalam perkhidmatan, ia sudah pasti memberi kenangan yang indah untuk dikenang dan dikongsikan kepada anak dan cucu sekali gus menjadi contoh dan pendorong kepada mereka,” jelasnya.

    Beliau juga tidak lupa memberi kata-kata semangat kepada generasi penerus dan pemaju masa depan negara supaya akan terus memberikan perkhidmatan dengan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi, bersikap amanah dengan rasa penuh keikhlasan tanpa memikirkan ganjaran tambahan yang akan diperolehi.

    Bagi Hajah Lilawati binti Haji Yahya yang menerima Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (PSB), pengurniaan bintang tersebut akan menjadi pembakar semangat untuk terus menabur bakti bukan saja kepada kementerian tapi juga kepada negara.

    Setelah berkhidmat di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) selama 34 tahun sejak 1988, beliau sebelum ini pernah menerima beberapa pingat lain.

    Hajah Rosnah binti Dato Paduka Haji Othman yang juga menerima Bintang Kebesaran PSB turut menyatakan bahawa pengurniaan berkenaan akan menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan lagi mutu kerja dengan lebih baik lagi dan berbakti kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

    Selain itu, ia juga akan menjadi contoh dan pendorong kepada anak-anak untuk mengalas tugas dengan jujur dan amanah dalam menjalankan tugas yang diamanahkan, ujar beliau yang telah berkhidmat di KKBS selama 35 tahun sejak 1987.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Hong Kong gagalkan percubaan rompakan

    HONG KONG, 8 MEI - Polis Hong Kong menahan lima lelaki yang cuba merompak sebuah kedai barang kemas, dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)...