Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Peranan belia ke arah masa depan mampan

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Penglibatan belia dalam kesukarelawanan dan usaha ke arah menggalakkan ekonomi biru serta pengurusan lautan adalah penting dalam membina masa depan yang mampan.

    Belia mewakili generasi akan datang dan akan mewarisi kesan daripada cabaran alam sekitar dan sosial yang berlaku pada masa kini.

    Oleh yang demikian, dengan melibatkan diri dalam kesukarelawanan dan usaha kemampanan, mereka boleh menyumbang untuk membentuk masa depan yang lebih baik untuk diri mereka sendiri dan generasi seterusnya.

    Perkara berkenaan diketengahkan oleh penceramah panel pada forum anjuran Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), baru-baru ini, sebagai sebahagian daripada Simposium Mengekalkan Biodiversiti Marin menerusi Ekonomi Biru 2023 yang dianjurkan dari 6 hingga 8 Jun lalu oleh Jabatan Perikanan sempena Hari Lautan Sedunia.

    Forum Pemimpin Alam Sekitar Muda itu telah disertai oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Luke Arnold; Ketua Pegawai Eksekutif PONI Foundation, Awang Mohd Tahsin Wong Abdullah; Presiden dan Pengasas Beach Bunch, Awang Rizan Latif; ahli Eksekutif BruWILD, Dayang Noorlela Yassin; Pengasas Future Ocean Borneo PLT, Iqbal Abdullah; dan Frederick Chong selaku Sekretariat dan Pengurus Projek Reef Check untuk pemulihan karang.

    Gambar ramai ahli panel semasa Forum Pemimpin Alam Sekitar Muda anjuran BIBD, baru-baru ini. – Gambar serahan BIBD

    Para penceramah antaranya menekankan bahawa sesiapa sahaja, terutamanya belia, boleh membantu mewujudkan ekonomi biru yang lebih mampan dengan terlibat dan mengambil tindakan sama ada secara sukarela, melibatkan penggubal dasar dan komuniti atau membeli barangan mesra alam dan mengurangkan penggunaan plastik.

    Mereka menekankan bahawa pendidikan dan kesedaran adalah sangat penting dan kesukarelawanan boleh menjadi kunci untuk mencapai matlamat ini kerana mereka yang terlibat akan belajar dan menyaksikan sendiri keadaan alam sekitar.

    Menurut Iqbal, misi utama Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu adalah untuk tidak meninggalkan sesiapa pun dan ini juga melibatkan keperluan dan kepentingan belia di mana-mana di dunia.

    “Belia lebih cenderung untuk menerima pakai teknologi dan teknik baharu justeru mereka boleh menjadi pemangkin pembangunan mampan terutamanya dalam usaha memaksimumkan ekonomi dan faedah sosial sambil meminimumkan kemerosotan alam sekitar daripada mana-mana sektor perindustrian,” ujarnya yang juga selaku Duta Alam Sekitar Hijau, Bandaraya Miri.

    Beliau menambah bahawa belia bukan sahaja dilihat sebagai peserta dan rakan usaha sama tetapi juga sebagai rakan kongsi strategik.

    “Pendidikan marin adalah sebahagian daripada pemuliharaan dan menjadi rakan strategik kepada mana-mana masyarakat yang lain atau kerja sukarela dalam pemuliharaan marin, mereka boleh terbukti menjadi sesuatu yang berharga membantu untuk memupuk anak muda lain dengan kemahiran, alatan dan perspektif yang diperlukan,” jelas Iqbal.

    Ujarnya lagi, memandangkan belia mewakili masa depan sesebuah negara, adalah penting bagi Brunei untuk melibatkan golongan belia dalam aktiviti yang berkaitan mempromosikan ekonomi biru dan pengurusan sumber marin.

    “Merekalah yang akan menerajui ekonomi Brunei kerana mereka juga duta mereka sendiri. Orang muda memimpin orang muda. Orang muda sebagai sumber terbesar yang belum diterokai untuk memajukan agenda marin tempatan dan global,” tegasnya.

    Sementara itu, Frederick Chong antara lain menyatakan bahawa belia adalah penentu trend yang hebat pada era ini. Biarkan belia terlibat dalam program yang menyediakan sebagai platform pembelajaran tetapi juga membolehkan mereka bekerja dalam kekuatan mereka.

    Beliau menambah bahawa masa depan setiap negara banyak bergantung kepada setiap generasi belia.

    “Kami sentiasa memerlukan seseorang untuk belajar dan menjadi peneraju seterusnya bagi menerajui pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negara termasuk dalam pengurusan lautan yang sering diabaikan…penglibatan belia dalam inisiatif pembangunan mampan akan reengineer pemikiran mereka ke arah pendekatan mampan,” ujarnya.

    Dalam pada itu, BIBD baru-baru ini telah mengumumkan pelancaran Anugerah Pemimpin Kemampanan BIBD untuk mengiktiraf dan meraikan usaha belia di Brunei ke arah membina masa depan yang lebih mampan.

    Sebagai yang pertama seumpamanya di negara ini, anugerah bertujuan untuk memperkasa dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang untuk mengambil langkah berani ke arah menangani cabaran alam sekitar, sosial dan ekonomi, menempa laluan ke arah masyarakat yang lebih mampan dan berdaya tahan.

    Pelaksanaan anugerah berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen BIBD sebanyak $2 bilion ke arah pembiayaan kemampanan di bawah Rangka Kerja Kelestarian BIBD dan usaha berterusan ke arah mencapai UNSDG.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...