Thursday, May 9, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Percikan api kimpalan punca kebakaran, 38 terkorban

    BEIJING, 22 NOV – Penyiasat berkata percikan api daripada kerja-kerja kimpalan mungkin punca kebakaran yang meragut 38 nyawa di sebuah syarikat yang mengendalikan kimia dan barangan industri di wilayah Henan, tengah China.

    Dua lagi mengalami kecederaan dalam kebakaran yang memusnahkan keseluruhan bangunan di bandar Anyang kira-kira pukul 4:30 petang kelmarin. Anggota bomba mengambil masa tiga jam setengah untuk mengawal kebakaran, menurut kerajaan daerah Wenfang.

    Seorang atau lebih pengimpal beroperasi dalam keadaan yang menyalahi peraturan keselamatan mungkin menyebabkan percikan api yang menyalakan kain kapas di dalam bangunan, menurut pegawai yang dipetik oleh agensi berita rasmi Xinhua.

    Siasatan masih dijalankan, dengan pengurus syarikat dan pegawai kerajaan tempatan disoal siasat, tambah Xinhua.

    China mempunyai sejarah kemalangan industri yang berpunca daripada langkah keselamatan yang longgar dan peningkatan persaingan serta rasuah dalam kalangan pegawai.

    Rakaman video yang disiarkan oleh penyiar CCTV menunjukkan api dan asap berkepul-kepul keluar dari bangunan dua tingkat yang dijilat api. Semasa rakaman pada waktu malam, anggota bomba kelihatan memeriksa bekas kebakaran menggunakan tangga dan lampu.

    Lebih 250 orang anggota bomba dan penyelamat dikerahkan, menurut kenyataan.

    Henan, wilayah yang padat penduduk dan penting dari segi ekonomi, menyaksikan beberapa kemalangan yang meragut jiwa dan membawa kepada penahanan beberapa orang pegawai tempatan.

    Lima ditahan selepas sebuah bangunan runtuh yang mengorbankan 53 orang di luar wilayah ibu kota Changsha pada April lalu. – AP

    Imej yang diambil daripada rakaman video oleh CCTV menunjukkan sebuah kilang terbakar di Anyang, wilayah Henan, China, baru-baru ini. Kebakaran tersebut meragut sekurang-kurangnya 38 orang dan mencederakan dua yang lain. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...