Friday, May 3, 2024
30.3 C
Brunei

    -

    Perintah Kuarantin kini ditiadakan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Bermula pada 15 Februari ini, Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 tidak lagi digunakan sebagai sandaran untuk mengehendaki kes-kes positif COVID menjalani pengasingan diri mandatori.

    Ia memandangkan negara telah memasuki Fasa Endemik dan rakyat serta penduduk di negara ini mempunyai tahap imuniti tinggi yang diperoleh melalui vaksinasi dan jangkitan semula jadi.

    Maka dengan perubahan itu, sesiapa yang mempunyai Ujian Pantas Antigen (ART) positif, mereka digalakkan untuk memuat naik keputusan ART ke aplikasi BruHealth. Namun Perintah Kuarantin akan ditiadakan dan digantikan dengan Nasihat untuk Pengasingan Diri.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah memaklumkan mengenai pengemaskinian sukat-sukat langkah pengawalan COVID semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Pengemaskinian itu adalah pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa mengongsikan pengemaskinian sukat-sukat langkah pengawalan COVID di Kementerian Kesihatan, kelmarin.

    Sementara itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan bahawa penggunaan kod berwarna ungu dalam aplikasi BruHealth adalah masih dikekalkan. Walau bagaimanapun, ia akan digunakan sebagai pengesahan dan tujuan sijil sakit sahaja, dan bukan untuk pengasingan diri mandatori.

    Pada masa ini, kes-kes positif adalah dikehendaki menjalani pengasingan diri mandatori selama lima ke 10 hari, iaitu tertakluk kepada hasil ujian ART selepas hari kelima.

    Dengan pengemaskinian tersebut nanti, menurut Yang Berhormat Dato, kes-kes positif COVID adalah cuma dinasihatkan menjalani pengasingan diri dalam tempoh tiga ke lima hari sahaja.

    “Sesiapa yang memilih untuk membuat pengasingan diri boleh menamatkan pengasingan diri selepas hari kelima atau pada bila-bila masa setelah keputusan ART menjadi negatif selepas hari ketiga,” jelasnya.

    Beliau juga menjelaskan kontak-kontak terdekat bagi kes-kes positif COVID tidak lagi dikehendaki untuk menjalani pengasingan diri dan kod merah dalam aplikasi BruHealth adalah ditiadakan. Walau bagaimanapun, sesiapa yang mempunyai tanda-tanda jangkitan atau simptom adalah dinasihatkan untuk membuat ujian ART.

    Selain itu, Yang Berhormat Dato turut menjelaskan mengenai penjarakan fizikal mengikut ukuran lebar tikar sembahyang (bersaiz besar) bagi sembahyang fardu berjemaah dan sembahyang fardu Jumaat di masjid-masjid tidak lagi diperlukan dan penggunaan tikar sembahyang sendiri tidak dimestikan.

    Dengan adanya perubahan-perubahan itu, gelaran Protokol Kesihatan bagi COVID-19 kini digantikan sebagai Nasihat Kesihatan bagi COVID-19.

    Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan akan mengemaskinikan dan melaksanakan langkah-langkah pengawalan di hospital-hospital dan klinik-klinik (termasuk hospital dan klinik swasta).

    Antara pengemaskinian tersebut ialah para pelawat tidak lagi dikehendaki untuk membuat ujian ART sebelum datang mengunjungi pesakit-pesakit di wad-wad dan pemakaian pelitup muka hanya dimestikan di kawasan-kawasan klinikal sahaja.

    Manakala langkah-langkah pengawalan lain adalah masih dikekalkan iaitu ujian ART akan terus dilakukan bagi pesakit-pesakit yang akan dimasukkan ke hospital untuk rawatan; dan pesakit-pesakit yang juga dijangkiti COVID akan dirawat di wad-wad pengasingan yang dikhaskan.

    Yang Berhormat Dato juga mengumumkan bahawa Sidang Media Mingguan Kementerian Kesihatan akan diadakan mengikut keperluan sahaja dan tidak lagi diadakan secara tetap pada setiap minggu. Walau bagaimanapun, maklumat tertentu mengenai COVID-19 akan terus diberigakan melalui media massa.

    “Berikutan dengan beberapa laporan mengenai peningkatan kes di beberapa buah negara, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dinasihatkan untuk tidak perlu berasa cemas atau panik,” kata Yang Berhormat Dato.

    Jelasnya, Jawatankuasa Pandu COVID-19 sentiasa memantau keadaan semasa jangkitan COVID di negara ini serta di peringkat serantau dan global dan membuat penilaian risiko mengenai impaknya terhadap sistem kesihatan di negara ini, di samping memastikan apa jua langkah-langkah pengawalan yang dikenakan adalah bersesuaian, demi menjaga keselamatan, kesejahteraan dan keamanan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

    “Negara ini akan sentiasa bersedia menghadapi apa jua situasi dengan adanya sistem kesihatan yang mantap berserta dengan kadar vaksinasi dan tahap imuniti yang tinggi, sekali gus dapat mengawal situasi berkenaan dengan baik, Insya Allah.

    “Apa jua perubahan dan pengemaskinian mengenai langkah-langkah pengawalan COVID sudah setentunya akan segera dimaklumkan kepada orang ramai,” katanya.

    Dalam pada itu, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua menasihatkan kepada orang ramai untuk memastikan status vaksinasi COVID mereka dikemas kini, sesuai dengan saranan Kementerian Kesihatan.

    Katanya, mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, dos penggalak COVID boleh diberikan kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas yang sudah melebihi enam bulan dari tarikh terakhir mendapatkan vaksin COVID atau dari tarikh mendapat jangkitan COVID iaitu dikira dari tarikh yang terkemudian, dan tanpa mengira jumlah dos penggalak yang telah diterima.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...