Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Polis buru dalang pengeboman

    HAT YAI, THAILAND, 23 NOV – Polis Thailand hari ini berkata mereka cuba mengenal pasti suspek di sebalik pengeboman di kuarters polis yang membunuh seorang pegawai dan mencederakan 45 lainnya di selatan Thailand.

    Polis berkata suspek memandu sebuah pikap hitam dan masuk ke perkarangan kuarters polis lalu beredar keluar selepas meletakkan kenderaan.

    Suspek berpakaian seperti seorang pegawai biasa dalam imej yang ditangkap oleh kamera pengawasan. Mangsa yang cedera kebanyakannya orang awam, termasuk tiga kanak-kanak.

    Sejak pemberontakan bermula pada 2004, lebih 7,300 orang telah terbunuh di Narathiwat, Pattani dan Yala, wilayah yang mempunyai penduduk majoriti Islam di Thailand. Serangan turut berlaku di wilayah kejiranan Songkhla.

    Penduduk beragama Islam, yang hampir kesemuanya etnik Melayu, sudah lama dilayan seperti warga kelas kedua di Thailand dan pergerakan pemisah telah lama aktif sejak berdekad-dekad. Tindakan keras ke atas mereka telah mencetuskan rasa tidak puas hati.

    Pada Ogos, siri serangan pengeboman dilancarkan di tiga buah wilayah di selatan Thailand, dan kebanyakannya menyasarkan kedai-kedai runcit dan stesen minyak. Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas serangan, yang mencederakan tiga orang.

    Serangan yang berlaku kelmarin di kuarters polis merupakan yang kedua tahun ini dengan menggunakan bom kereta. Serangan pertama berlaku pada Jun di Pattani, mencederakan seorang anggota polis. Sejak 2005, kira-kira 60 serangan bom kereta telah dicatatkan, menurut kenyataan polis.

    Ketua polis kebangsaan, Jeneral Damrongsak Kittiprapas berkata pakar forensik percaya bom buatan sendiri seberat 50 kilogram telah dipasang pada tong gas. – AP

    Seorang pekerja mengalihkan bangkai kereta yang rentung akibat letupan di wilayah Narathiwat pada 23 November. Polis ketika ini cuba mengenal pasti suspek di sebalik pengeboman itu. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...