Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Presiden Iran tangani masalah utama inflasi

    TEHRAN, 22 JAN – Presiden Iran, Ebrahim Raisi hari ini membuat keputusan untuk mengatasi masalah inflasi dan penurunan kadar nilai mata wang sebagai keutamaan untuk bajet 2023-2024 yang dibentangkan kepada parlimen. Keputusan itu dibuat berikutan nilai rial yang mencecah paras terendah baharu.

    Bercakap kepada ahli parlimen, Raisi cuba meyakinkan rakyat Iran mengenai ekonomi yang kini berdepan krisis serius terutamanya disebabkan oleh sekatan AS, lebih-lebih lagi ke atas eksport minyak. Tindakan itu dilaksanakan semula selepas Washington menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran pada 2018.

    “Ketelusan, meningkatkan taraf hidup rakyat, mengawal inflasi dan kos serta menyokong pasaran saham adalah keutamaan belanjawan bagi tahun bermula pada 21 Mac,” kata Raisi.

    Pada akhir Disember, gabenor bank pusat itu meletak jawatan selepas kadar rial kehilangan kira-kira 30 peratus daripada nilainya dalam dua bulan, jatuh daripada 330,000 kepada 430,000 setiap dolar AS.

    Hari ini, mata wang negara itu didagangkan pada kadar kira-kira 450,000 rial setiap dolar, yang merupakan paras terendah baharu sepanjang masa.

    Pada masa yang sama, inflasi mencapai 45 peratus pada penghujung Disember.

    “Ketahuilah bahawa harga mata wang (asing) dan emas, serta harga banyak barang mahal di negara ini akan menurun,” janji presiden itu, tanpa menjelaskan secara terperinci strategi kerajaan untuk mencapainya.

    Ekonomi Iran telah tertakluk kepada tekanan yang semakin meningkat dengan sekatan baharu yang dikenakan oleh negara-negara Barat berhubung respons pihak berkuasa terhadap protes yang dicetuskan oleh kematian Mahsa Amini.

    Iran telah dicengkam oleh protes sejak 16 September berikutan kematian Amini, seorang warga Iran Kurdish berusia 22 tahun yang dalam tahanan, kerana dakwaan melanggar kod pakaian ketat negara itu untuk wanita. – AFP

    Ahli Parlimen Iran menghadiri sidang parlimen – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...