Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Program Tarbiyah Menjelang Ramadan Bersama Mualaf

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Mualaf), hari ini, telah mengadakan Program Tarbiyah Menjelang Ramadan Bersama Mualaf di Mushala Al-Ameen, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dan juga secara maya melalui aplikasi Zoom.

    Ia merupakan kesinambungan penerangan bagi Poster Amalan-amalan di Bulan Ramadan yang telah diagihkan kepada mualaf semasa Projek Fathul Barakah 3.0 yang lalu anjuran melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Muallaf) dengan kerjasama unit dakwah daerah-daerah.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar.

    Semasa program itu, tazkirah ‘Amalan di Bulan Ramadan’ telah disampaikan oleh penceramah bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei, Awang Muhammad Khairul Mu’az bin Haji Sibodaud.

    Beliau antara lain menekankan bahawa bulan Ramadan ini merupakan peluang keemasan untuk membersihkan jiwa dan juga melatih diri agar ibadah yang dilaksanakan akan terus konsisten dilakukan setelah berlalunya bulan Ramadan.

    Dalam tazkirah itu, beliau mengingatkan supaya para mualaf untuk memperbanyakkan amal ibadah seperti sembahyang sunat, membaca Al-Quran, berzikir dan berselawat.

    Program dihadiri oleh mualaf-mualaf seluruh negara, terdiri daripada peserta-peserta Kelas Bimbingan Mualaf dan ahli-ahli persatuan mualaf di keempat-empat daerah iaitu Persatuan Nurul Islam (PNI), Persatuan Sinar Islam (PSI), Persatuan Saudara-Saudara Baru Daerah Tutong (PESATU) dan Persatuan Saudara Baru Daerah Temburong (PESAT).

    Antara objektif program adalah sebagai salah satu cara untuk memberi kefahaman kepada mualaf mengenai bab-bab puasa di bulan Ramadan.

    Program diharap akan dapat meningkatkan lagi kefahaman dan pengetahuan para mualaf tentang puasa serta dapat menyuntik semangat untuk menjalani ibadah puasa dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

    Awang Abdul Aziz hadir selaku tetamu kehormat semasa program itu.
    Awang Muhammad Khairul Mu’az ketika menyampaikan tazkirahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...