Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Projek penggambaran udara kumpul maklumat geospatial

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa kerja-kerja bagi projek Aerial Photography, Airborne Light Detection and Ranging (LiDAR) Acquisition and Geospatial Mapping of Brunei Darussalam telah pun bermula sejak 2 April lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Ukur, hari ini, projek penggambaran udara berkenaan merupakan salah satu projek yang telah dibenarkan di bawah Rancangan Kemajuan Negara ke-11 (RKN-11). Kontraktor yang dilantik bagi projek tersebut ialah Syarikat Juruukur Fadly dan dijangka akan selesai dalam tempoh 18 bulan.

    Projek berkenaan akan menghasilkan gambar udara dan data LiDAR bagi seluruh Negara Brunei Darussalam. Data yang diperoleh akan digunakan untuk mengemas kini peta dan maklumat geospatial tanah air, selain memenuhi permintaan dan membantu agensi kerajaan dan swasta di dalam perancangan pembangunan negara dan pengurusan bencana.

    Sehubungan itu, Jabatan Ukur menjelaskan kerja-kerja berkenaan akan menggunakan helikopter model Bell 206 B-3 Jet Ranger yang berdaftar dari Sabah, Malaysia. Helikopter tersebut dijadualkan terbang di seluruh negara bagi mendapatkan maklumat geospatial yang terkini.

    Jabatan juga ingin memberikan jaminan kepada orang ramai bahawa setiap langkah keselamatan telah diambil kira untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai dijaga.

    Dalam pada itu, Jabatan Ukur ingin memohon maaf atas perkara ini dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama, kefahaman dan kesabaran daripada orang ramai. Sebarang pertanyaan lanjut dan aduan mengenai perkara ini bolehlah disalurkan melalui emel kerajaan Jabatan Ukur iaitu info@survey.gov.bn.

    Helikopter model Bell 206 B-3 Jet Ranger yang dijadualkan terbang di seluruh negara bagi mendapatkan maklumat geospatial yang terkini. – Gambar serahan Jabatan Ukur
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...