Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Proses SAB libatkan agensi kerajaan lain

    Kementerian Pendidikan ingin merujuk kepada surat Bapa penuntut bertajuk Isu Pas Pelajar Perlukan Penyelesaian, yang diterbitkan dalam Pendapat Pembaca, Media Permata pada 22 Jun lalu.

    Pelajar-pelajar asing yang berhasrat untuk belajar di Negara Brunei Darussalam perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu dari Kementerian Pendidikan dengan memohon Surat Akuan Belajar (SAB). Ini merupakan sokongan kepada pelajar asing dan stateless yang ingin belajar di negara ini.

    Dalam membuat permohonan berkenaan, ianya turut melibatkan bukan sahaja proses di dalam Kementerian Pendidikan tetapi juga agensi di luar Kementerian Pendidikan bagi memastikan peraturan keberadaan warga asing adalah terjaga. Dalam pada itu, beberapa dokumen turut diperlukan bagi pertimbangan yang sewajarnya dibuat.

    Antara dokumen yang diperlukan bagi pemprosesan SAB adalah seperti berikut;

    1. Salinan surat beranak pemohon (Bagi permohonan pertama)

    2. SAB terakhir yang masih sah. (Bagi permohonan untuk membaharui)

    3. Salinan kad pintar dan pasport pemohon yang masih sah.

    4. Salinan kad pintar dan pasport penjamin yang masih sah: terdiri daripada ibu atau bapa pemohon.

    5. Salinan Pas Kerja yang masih sah (atau dokumen berkenaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan/Jabatan Buruh yang menyatakan Pas Kerja penjamin dalam proses pembuatan.)

    Pas Kerja yang masih sah diperlukan bagi penetapan tarikh kebenaran untuk belajar di Negara Brunei Darussalam. SAB tidak akan diproses jika penjamin pemohon gagal menghadapkan Pas Kerja yang sah (atau dokumen berkenaan yang dikeluarkan oleh JIPK/Jabatan Buruh). Penjamin pemohon akan dihubungi jika terdapat permasalahan dengan permohonan Surat Akuan Belajar anak-anak mereka.

    Berhubung jangka masa pempro-sesan permohonan yang dimaksudkan, tempoh TPOR di Unit Akuan Belajar, Jabatan Sekolah-sekolah (JSS) adalah lima hari bekerja manakala permohonan adalah dibukakan dari bulan Januari sehingga November, dan tujuh hari bekerja pada bulan Disember setiap tahun.

    Setakat ini semua permohonan SAB telah diproses dalam masa satu ke dua hari bekerja. Mana-mana pemohon yang menghadapi kelambatan dalam pemprosesan adalah disyorkan untuk memeriksa sama ada dokumen-dokumen yang diperlukan telah dihantar atau SAB yang telah diproses sudah diambil.

    Sebagai langkah proaktif Kementerian Pendidikan untuk mengelakkan pas pelajar dari melepasi tarikh mansuh, pihak sekolah secara lazimnya akan memaklumkan kepada ibu bapa pelajar dan menasihatkan agar mereka membaharui Pas Penuntut anak mereka dengan seberapa segera. Ini adalah bagi memastikan anak-anak akan dapat terus hadir ke sekolah tanpa masalah.

    Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan juga sukacita menyeru pihak ibu bapa pelajar agar sentiasa peka dengan tarikh mansuh pas pelajar anak-anak seterusnya untuk berhubung terus dengan Unit Akuan Belajar sekiranya terdapat kewahaman dalam permohonan yang dihadapkan.

    Bahagian Komunikasi Korporat
    Kementerian Pendidikan
    Negara Brunei Darussalam

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...