Thursday, May 9, 2024
24.2 C
Brunei

    -

    PTB Brunei terima pensijilan kualiti perkhidmatan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 APRIL – Satu lagi pencapaian penting telah diraih oleh institusi latihan yang berpangkalan di Brunei, Syarikat Pakar Tenaga Bersatu Sdn Bhd (PTB) yang menerima pensijilan ISO 9001:2015 untuk kualiti perkhidmatannya.

    Pencapaian itu telah diumumkan oleh PTB dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, yang menjelaskan bahawa pensijilan berkenaan telah membawa kepada kerjasama antara PTB dan SIRIM Malaysia.

    Menurut PTB, kerjasama strategik itu akan melibatkan kedua-dua organisasi bekerjasama dalam bidang seperti latihan vokasional teknikal, kerjasama dalam pelbagai aspek industri minyak dan gas serta meningkatkan pembangunan keusahawanan dan teknousahawan di Negara Brunei Darussalam.

    Pengarah Urusan PTB, Pengiran FDr Hishamuddin Alli bin Pengiran Jaya Indera Pengiran Haji Mokhtar Puteh dipetik menjelaskan, “Kualiti perkhidmatan adalah penting jika sesebuah organisasi ingin mengembangkan dan mempelbagaikan produk dan perkhidmatannya serta membuka pintu kepada syarikat tempatan untuk memasuki pasaran antarabangsa.

    “Terdapat banyak syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan di Brunei, yang mempunyai potensi besar untuk berkembang dan berkembang melangkaui pasaran tempatan,” tambahnya.

    Pengiran FDr Hishamuddin Alli semasa menerima anugerah pensijilan ISO 9001 yang disampaikan oleh Dato’ Indera Ir Dr Ahmad Sabirin Arshad. – GAMBAR SERAHAN PTB
    Pengiran FDr Hishamuddin Alli dan Dato’ Indera Ir Dr Ahmad Sabirin Arshad bergambar ramai pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN PTB

    Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Darussalam Enterprise (DARe) kerana memberikan peluang menyertai Program Perundingan Standard mereka yang bertujuan untuk menyokong syarikat-syarikat PMKS Brunei dalam pertumbuhan perniagaan
    mereka.

    Perkongsian berkenaan memberikan peluang unik untuk meningkatkan pengembangan perniagaan antarabangsa SIRIM dan mencipta peluang untuk produk dan perkhidmatan baharu dan inovatif.

    Melalui perkongsian berkenaan, SIRIM dan PTB akan bekerjasama rapat untuk membangunkan program latihan komprehensif yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan industri.

    Manakala itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Dato’ Indera Ir Dr Ahmad Sabirin Arshad pula berkata, “Kerjasama unik ini akan membolehkan pemindahan pengetahuan yang berkesan, dan seterusnya akan melahirkan pakar industri yang amat diperlukan untuk berkembang maju dalam sektor dinamik ini”.

    Pensijilan ISO 9001 menggariskan piawaian untuk Sistem Pengurusan Kualiti, berasaskan pelbagai prinsip pengurusan kualiti yang sepadan dengan tujuh prinsip pengurusan ISO 9001:2015 iaitu tumpuan pelanggan, kepimpinan, keterlibatan pekerja, pendekatan proses, penambahbaikan, membuat keputusan berasaskan bukti dan pengurusan
    hubungan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Albanese tolak hujah China dakwa Australia bersalah

    MELBOURNE, 8 MEI - Perdana Menteri Australia Anthony Albanese hari ini menolak hujah China bahawa Australia bertanggungjawab atas pertemuan berbahaya pada hujung minggu antara...