Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Amalkan sikap kesederhanaan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Dengan tema ‘Amalkan Sikap Kesederhanaan dan Hindari Pembaziran’, Program Keagamaan Senegara bagi Sekolah-sekolah Arab dan Ugama telah diadakan secara serentak di seluruh negara, hari ini.

    Program berkenaan dijalankan secara dalam talian, dengan dibahagi kepada dua sesi di mana sesi persekolahan sebelah pagi bermula pada pukul 8 pagi, manakala bagi persekolahan agama sesi petang bermula 1 petang.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ugama, acara program berkenaan dimulakan dengan membaca Selawat Tafrijiyyah, Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.

    Kemudian diteruskan dengan tazkirah mengenai tema, membaca tahlil dan Doa Arwah; membaca Doa Memohon Perlindungan Daripada Wabak COVID-19, dan diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

    Kenyataan menyatakan, tazkirah untuk program bulan ini antara lain membahaskan mengenai memberi ilmu pengetahuan kepada pelajar-pelajar supaya sentiasa siap siaga menghadapi cabaran kehidupan menyongsong dunia revolusi industri 4.0.

    Sebahagian pelajar mengambil bahagian dalam program yang diadakan secara serentak di seluruh negara secara dalam talian kelmarin.
    Antara pelajar yang menghadiri program berkenaan.

    Di samping itu, program ini juga bertujuan menimbulkan kesedaran dan keinsafan kepada pelajar-pelajar tentang peranan dan tanggungjawab menguruskan kewangan atau harta dengan sebaiknya serta menghindari pembaziran.

    Kenyataan menekankan, orang yang boros atau tidak cermat dengan pendapatannya akan menghadapi masalah kewangan di samping itu, pembaziran akan meninggalkan kesan yang buruk dalam kehidupannya kerana ia didorong oleh syaitan yang sentiasa membisikkan dan memperlihatkan keburukan itu sebagai kebaikan.

    Oleh sebab itu kebanyakan orang tidak menyedari yang dirinya telah terpedaya oleh hasutan syaitan.

    Kebijaksanaan merancang perbelanjaan supaya tidak berlaku ketidakseimbangan dengan pendapatan adalah perlu supaya sikap berbelanja itu akan lebih terarah dan mewujudkan sikap kesederhanaan dan berjimat cermat.

    Membelanjakan harta yang dimiliki bukanlah satu kesalahan dalam Islam dengan syarat ia mestilah pada perkara-perkara yang berfaedah dan mengikut ukuran yang ditentukan oleh syarak, di antaranya mestilah ia membelanjakan hartanya pada jalan kebaikan dan kebajikan yang diredai oleh Allah SWT.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...