Saturday, June 10, 2023
27.6 C
Brunei

    -

    Pusat SV terus sedia latihan relevan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Sebagai penyedia latihan dan pendidikan vokasional dan teknikal (TVET), menjadi mandat Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH (SV) untuk menyediakan latihan yang paling diperlukan dan relevan bagi guru-guru dan jurulatih.

    Pada masa yang sama, juga menjadi peranan pusat tersebut untuk mempermudah ketersediaan tenaga kerja bagi menggabungkan aplikasi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) di tempat kerja.

    Penerangan itu dibuat oleh Pengarah Pusat SV, Awang Alias bin Haji Abu Bakar dalam kata alu-aluannya pada Penutup Bengkel dan Program Latihan Serantau, Ketersediaan Institusi-institusi TVET bagi IR4.0 di Asia Tenggara, yang berlangsung di Pusat Serantau SV, Gadong, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan kepada peserta-peserta bengkel dan latihan berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh.

    Awang Alias berkata lagi, “Saya berharap hasil daripada projek penyelidikan ke atas kesediaan institusi TVET bagi IR4.0 itu akan membimbing institusi tersebut untuk membangunkan kurikulum dan bahan latihan yang sejajar dengan keperluan IR4.0.”

    Dr Chin Wei Keh menyampaikan uca-pan semasa bengkel berkenaan.

    Pada majlis itu juga, Koordinator Kursus, Dr Paryono dalam ulasannya menyatakan pasukan penyelidiknya telah menghasilkan model rangka kerja konseptual yang serupa kepada Smart Industry Readiness Index (SIRI) dan membangunkan matriks penilaian bagi kajian berkenaan.

    Beliau menerangkan pasukan SV akan menggabungkan matriks penilaian berkenaan menjadi sebuah soal selidik tinjauan.

    Beliau menambah matriks penilaian itu bukan sahaja akan menyediakan institusi-institusi TVET dengan alat untuk menilai status ketersediaan bagi IR 4.0 mereka yang sedia ada tetapi juga akan merangkan pelan tindakan mengenai bagaimana untuk maju ke peringkat seterusnya.

    Bengkel latihan yang diadakan secara hibrid itu telah disertai oleh seramai 24 penyelidik serantau dari sembilan buah negara anggota SEAMEO iaitu Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam yang berlangsung dari 8 hingga 10 November.

    Bengkel latihan itu menandakan fasa kedua bagi program latihan serantau, Ketersediaan Institusi-institusi TVET bagi IR4.0 di Asia Tenggara, dan merupakan latihan di tapak ketiga yang dikendalikan sejak pandemik COVID-19.

    Berikutan dengan kelulusan cadangan kajian penyelidikan kolaborasi antara pusat SV kepada Mesyuarat Pegawai-pegawai Tinggi (HOM) SEA-TVET ke-4 untuk mengendalikan penyelidikan berhubung Ketersediaan Institusi-institusi TVET bagi IR 4.0 untuk penyertaan sembilan negara anggota SEAMEO, bengkel latihan itu menandakan langkah awal untuk mendapatkan maklum balas serta cadangan daripada pihak berkepentingan utama untuk menjalankan penyelidikan bagi ketersediaan IR4.0.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Jepun semak semula undang-undang

    TOKYO, 9 JUN - Jepun meluluskan undang-undang imigresen yang membenarkan kerajaan menghantar pulang pencari suaka yang gagal, walaupun mendapat tentangan daripada parti pembangkang dan...
    - Advertisment -