Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Seramai 80 jemaah umrah yang mengikuti pakej umrah Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) selaku pengendali haji dan umrah di Brunei di bawah Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB), telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ke Arab Saudi, baru-baru ini.
Rombongan berkenaan yang menandakan peserta umrah pertama bagi musim cuti persekolahan Ogos dan September ini turut disertai oleh dua orang pegawai pengiring umrah syarikat berkenaan dan akan menunaikan ibadah umrah kira-kira 12 hari.
Sebelum berlepas, Doa Selamat telah dipimpin oleh Haji Ahmad Fadhli bin Haji Damit.
Manakala taklimat ringkas pula disampaikan oleh Penolong Pengurus Besar, Jabatan Haji dan Umrah, DSSB, Pengiran Haji Ibarahim bin Pengiran Haji Bakar.
Sehubungan itu, DSSB memaklumkan orang ramai bahawa pakej umrah 2023 masih dibuka untuk pendaftaran dan tempat duduk masih tersedia untuk mereka yang berminat.
