Friday, May 3, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Rusia mahu hapus Ukraine – Zelensky

    KYIV, 2 MAC – Tentera Rusia berkata mereka telah menawan sebuah pelabuhan Ukraine hari ini ketika tentera Rusia dan Ukraine berjuang untuk sebuah lagi pusat bandar dan Presiden Volodymyr Zelensky berkata Moscow mahu ‘menghapuskan’ negaranya.

    Sementara itu, ketika konflik semakin meruncing pada hari ketujuh berlakunya pencerobohan tersebut, tentera Rusia berkata mereka telah menguasai pelabuhan Laut Hitam Kherson di selatan Ukraine.

    Pasukan payung terjun Rusia turut mendarat di Kharkiv, bandar kedua terbesar di Ukraine, mencetuskan pertempuran di jalanan, kata tentera Ukraine.

    Selepas Washington menggelar Presiden Rusia Vladimir Putin sebagai ‘diktator’, pemimpin Ukraine berkata serangan yang berlaku kelmarin di tiang televisyen di ibu negara Kyiv menunjukkan ancaman Rusia terhadap identiti Ukraine.

    Lima orang terbunuh dalam serangan di menara di Babi Yar, tempat pembunuhan beramai-ramai Nazi di mana lebih 33,000 orang terbunuh dan kebanyakannya adalah orang Yahudi.

    Anggota polis melepasi bangunan yang musnah selepas menerima laporan serangan berlaku di Kyiv. – AFP

    “Mereka tidak tahu apa-apa tentang ibu negara kita, mengenai sejarah kita tetapi mereka telah mengarahkan untuk menghapuskan sejarah kita. Hapus negara kita. Musnahkan kita semua,” kata Zelensky dalam video.

    Lelaki berusia 44 tahun itu, yang juga seorang Yahudi, menggesa orang Yahudi di seluruh dunia untuk bersuara.

    “Saya kini berbicara kepada semua orang Yahudi di dunia. Tidakkah awda nampak apa yang sedang berlaku? Itulah sebabnya adalah sangat penting untuk berjuta-juta orang Yahudi di seluruh dunia tidak berdiam diri sekarang,” katanya.

    Ukraine berkata lebih 350 orang awam, termasuk 14 kanak-kanak, telah terbunuh dalam konflik itu dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah membuka siasatan jenayah perang terhadap Rusia. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...