Friday, May 3, 2024
29.8 C
Brunei

    -

    Segera dapatkan dos penggalak – Khairy

    KUALA LUMPUR, 11 JULAI – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menasihati individu yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak COVID-19 agar segera berbuat demikian susulan peningkatan jangkitan kes virus itu sejak kebelakangan ini.

    Beliau turut menyarankan rakyat Malaysia yang belum menerima suntikan agar mendapatkan Paxlovid, ubat antiviral di fasiliti Kementerian Kesihatan sejak 15 April lepas bagi merawat pesakit COVID-19 dengan gejala ringan dan sederhana (kategori dua dan tiga).

    “Dapatkan suntikan, jika awda belum berbuat demikian. Dapatkan Paxlovid, jika awda berisiko tinggi dan positif COVID-19,” katanya di akaun Twitter rasmi beliau hari ini.

    Khairy juga menggesa agar rakyat Malaysia memakai pelitup muka apabila berada di kawasan tertutup atau sesak selain mengamalkan kaedah TRIIS (uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan).

    Dilaporkan bahawa tujuh juta rakyat Malaysia belum mendapatkan dos penggalak COVID-19 setakat ini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata meskipun dos penggalak tidak diwajibkan, ia masih penting kerana bukan sahaja kes positif COVID-19 telah kembali dengan trend menaik, tetapi dos itu juga akan membantu menghadapi varian baharu virus terutama Omicron BA.5 yang lebih mudah berjangkit.

    Khairy berkata pemberian Paxlovid kepada pesakit di fasiliti kesihatan swasta adalah percuma namun pesakit masih perlu membayar caj perkhidmatan konsultasi dan caj lain yang berkaitan. – Bernama

    Khairy Jamaluddin semasa mengadakan sidang media mengenai perkembangan kesihatan terkini di negara ini di Pusat Media, Bangunan Parlimen baru-baru ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Lebih 57,000 ayam ditakai di Jepun akibat wabak selesema burung

    TOKYO, 2 MEI - Lebih daripada 57,000 ayam ditakai di Wilayah Chiba Jepun berikutan penularan virus avian influenza, yang merupakan wabak ke-11 musim ini,...